Tiada kesan sampingan serius dialami remaja terima vaksin COVID-19
Bernama
September 22, 2021 22:56 MYT
September 22, 2021 22:56 MYT
PUTRAJAYA: Seramai 410,489 remaja telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 sehingga semalam, dan setakat ini tidak ada sebarang laporan mengenai kesan sampingan serius dialami golongan remaja yang menerima suntikan itu.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata Sabah merekodkan jumlah tertinggi remaja menerima suntikan itu dengan 140,890 orang; diikuti Sarawak (85,291); Kedah (31,294); Kelantan (17,413); Johor (27,936) dan Labuan (2,515).
"Tiada remaja yang menerima suntikan vaksin COVID-19 mengalami kesan sampingan yang serius. Kesan sampingan yang dilaporkan hanya demam, sakit otot, lenguh di tempat suntikan serta sakit kepala dan ia sememangnya sering berlaku.
"Kesan sampingan ini akan hilang selepas makan ubat," katanya dalam sidang media bersama Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon di sini, hari ini.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan secara rasmi pada 20 Sept (Isnin) dengan menyasarkan 3.2 juta golongan remaja berusia 12 tahun (mengikut tarikh lahir) hingga 17 tahun.
Langkah itu sebagai persediaan pembukaan sekolah bagi memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan, sekaligus mencegah kejadian kluster dan kes dalam kalangan warga sekolah.
Dr Noor Azmi seterusnya meminta ibu bapa atau penjaga untuk mendaftarkan remaja yang akan mengambil suntikan vaksin COVID-19 sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera mereka.
"Apabila daftar sebagai tanggungan, sijil digital vaksinasi remaja akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera ibu bapa. Selain itu, KKM juga akan berikan kad vaksinasi sebagai tanda remaja terbabit telah menerima suntikan vaksin," katanya.
-- BERNAMA