Tiada kesan pukul atau kekerasan fizikal pada warga Nigeria mati dalam tahanan - KP Imigresen

Bernama
Julai 14, 2019 21:37 MYT
Khairul Dzaimee menjawab pertanyaan media selepas melakukan Operasi Penguatkuasaan Imigresen di sekitar Jalan Silang, Kuala Lumpur, hari ini. --fotoBERNAMA
Siasatan yang dijalankan Jabatan Imigresen terhadap kematian warga Nigeria Thomas Orhions Ewansiha semasa dalam tahanan baru-baru ini mendapati tiada sebarang unsur mangsa dipukul atau kekerasan digunakan.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya kini hanya menunggu laporan perubatan daripada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagi mengesahkan punca kematian Orhions.
Beliau berkata Orhions meninggal dunia pada 9 Julai dan sebelum itu rawatan awal telah diberikan serta pengurusan kematian juga mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sewajarnya.
"Imigresen telah mengadakan pertemuan dengan pihak kedutaan Nigeria, sebab-sebab kematian telahpun dijelaskan dan Jumaat lepas imigresen bukan sahaja adakan perjumpaan dengan Kedutaan Nigeria, tetapi perjumpaan berkenaan turut dihadiri oleh wakil 22 kedutaan dan suruhanjaya tinggi yang lain.
"Perkara-perkara berkaitan imigresen telah dibincangkan dalam pertemuan berkenaan," katanya ketika ditemui dalam satu operasi bersepadu di Jalan Silang di sini, pada Ahad.
Pada Jumaat lepas, Khairul Dzaimee dalam kenyataannya menjelaskan Orhions, 33, yang berada dalam tahanan Jabatan Imigresen di Depot Imigresen Bukit Jalil (DIBJ) meninggal dunia pada Selasa 9 Julai lalu disyaki terkena serangan sawan ketika tidur.
Mendiang Orhions yang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah di Limkokwing University of Creative Technology di sini meninggalkan seorang isteri dan dua anak masih kecil.
Orhions disahkan meninggal dunia pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam dan sejurus insiden itu, pegawai penyelia serta pegawai bertugas telah ke Balai Polis Bukit Jalil untuk membuat laporan polis.
Sementara itu, polis memberi jaminan akan terus memantau keadaan di Suruhanjaya Tinggi Nigeria susulan kejadian kira-kira 20 orang yang mendakwa daripada pertubuhan Nigerians In Diaspora Organization Malaysia (NIDO-MY) mengadakan protes di hadapan pejabat suruhanjaya itu di sini, kira-kira pukul 11.50 pagi Jumaat lalu.
-- BERNAMA
#Bukit Jalil #Depot Imigresen #Imigresen #Khairul Dzaimee Daud #laporan perubatan #Malaysia #mangsa #mati #meninggal dunia #Nigeria #protes #siasatan #Suruhanjaya Tinggi Nigeria #Thomas Orhions Ewansiha
;