Tiada kes subvarian XBB dilaporkan di Sarawak
Astro Awani
November 1, 2022 17:03 MYT
November 1, 2022 17:03 MYT
KUCHING: Sarawak akan terus melakukan pengawasan ketat walaupun tiada kes subvarian COVID-19 XBB dilaporkan di negeri itu setakat hujung September 2022.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengesan varian SARS -CoV-2 merebak di negeri ini, sebagai sebahagian daripada program pengawasan COVID-19 negara.
"Sarawak masih bebas subvarian XBB setakat hujung September. Bagaimanapun saya memberi jaminan pengawasan akan terus dilakukan oleh IHCM UNIMAS," katanya.
Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata demikian selepas menerima laporan terkini pengawasan dan kes positif COVID-19 di Sarawak daripada Pengarah IHCM Profesor Dr David Perera di sini pada Selasa.
Menurut Dr. Perera, setakat 14 Julai hingga 27 September ini, penjujukan genom telah dilakukan ke atas 463 sampel yang diperoleh daripada kes positif di seluruh negeri dan hanya mengesan B.1.1.529 Omicron Variant of Concern (VOC).
"Daripada jumlah ini, sebanyak 402 sampel dikesan sebagai BA.5, tiga kes BA.4.1 (dua kes dari Kuching dan satu dari Sibu), dan 58 kes BA.2 termasuk tiga kes BA.2.75 sub-keturunan (satu kes dari Kuching dan dua dari Sibu).
"Tiada kes sub-keturunan BA.2.75.2 yang sangat tahan dikesan. Oleh itu, sejak laporan pengawasan terakhir kami pada Julai, Omicron BA.5 kini telah muncul sebagai varian SARs-CoV-2 paling dominan di Sarawak.
"Ia menyumbang kira-kira 97 peratus daripada semua kes positif yang dikesan pada bulan September,” katanya.
Dr David dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya peka dengan risiko peningkatan kadar jangkitan di negeri ini.