Tiada kes kusta direkodkan dalam kalangan Orang Asli di Melaka

Bernama
Februari 28, 2025 22:00 MYT
Ngwe berkata pemantauan secara proaktif juga dilakukan dari semasa ke semasa di kawasan yang bersempadan dengan Negeri Sembilan terutamanya di perkampungan Orang Asli di Bukit Putus dan Bukit Sebang, Alor Gajah. - Gambar fail/Astro AWANI
ALOR GAJAH: Situasi penyakit kusta dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Melaka terkawal dan tiada kes direkodkan setakat ini, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.
Beliau berkata setiap tahun Jabatan Kesihatan Negeri Melaka akan mengambil sampel darah dalam kalangan masyarakat itu, bertujuan mengumpul data bagi mencegah penularan sebarang penyakit di perkampungan mereka.
"Langkah mengambil sampel darah dilaksanakan berikutan aktiviti masyarakat Orang Asli yang keluar masuk hutan mencari pelbagai hasil sebagai mata pencarian, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko seperti gigitan nyamuk.
"Mereka ini adalah golongan yang paling mudah dijangkiti penyakit bawaan nyamuk seperti malaria dan denggi," katanya kepada pemberita selepas Program Cilik Perpaduan Kembali ke Tabika Perpaduan dan Taska Perpaduan Peringkat Negeri Melaka di Masjid Tanah di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka Intan Suhana Yusuff.
Ngwe berkata pemantauan secara proaktif juga dilakukan dari semasa ke semasa di kawasan yang bersempadan dengan Negeri Sembilan terutamanya di perkampungan Orang Asli di Bukit Putus dan Bukit Sebang, Alor Gajah.
Beliau berkata pihaknya juga telah memaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk memantau dan mengehadkan pergerakan masyarakat itu dengan kawasan lain terutamanya yang berisiko bagi mengawal penularan.
Terdahulu, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dari Kampung Orang Asli Chergun, Kuala Pilah meninggal dunia pada 17 Feb lepas akibat penyakit kusta, manakala lapan individu lain sedang menerima rawatan.
-- BERNAMA
#Orang Asli #kusta #JAKOA #JPNIN
;