Tiada kes Covid-19 di Pahang - Pengarah Kesihatan

Bernama
Mac 3, 2020 17:54 MYT
Dr Bahari Awang Ngah menafikan pesanan dalam aplikasi WhatsApp yang mendakwa terdapat tiga sekeluarga disyaki dijangkiti virus itu. - Gambar fail
Jabatan Kesihatan Pahang hari ini menafikan terdapat pesakit yang disahkan positif COVID-19 di negeri ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Bahari Awang Ngah, berkata pesanan dalam aplikasi WhatsApp yang tular mendakwa terdapat tiga sekeluarga disyaki dijangkiti virus itu diletakkan di bawah arahan kuarantin adalah tidak tepat.
Beliau berkata, sebaliknya tiga sekeluarga dari Rompin terbabit hanya dimasukkan dalam senarai pesakit dalam siasatan (PUI) selepas pulang bercuti dari Korea Selatan sebagai langkah kawalan.
"Korea Selatan merupakan satu daripada lima negara paling tinggi kes COVID-19 dan prosedur kesihatan kita adalah mereka yang pulang dari negara terlibat diletakkan di bawah PUI jika mempunyai simptom seperti batuk.
"Bayi berusia lapan bulan yang dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pula hanya sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan usianya yang terlalu muda," katanya semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Dr Bahari berharap masyarakat tidak panik dan tidak menularkan pesanan menerusi aplikasi WhatsApp itu bagi mengelak kebimbangan masyarakat.
"Selain itu, pesanan itu juga melibatkan isu kerahsiaan pesakit kerana identitinya didedahkan. Ini aspek utama yang perlu difahami semua pihak sebelum menyebarkan pesanan tersebut," katanya.
Pesanan WhatsApp itu mendakwa tiga sekeluarga terdiri daripada seorang lelaki berusia 34 tahun bersama dua anak lelakinya diletakkan di bawah senarai kuarantin, disyaki COVID-19 kerana mengadu batuk selepas bercuti di Korea Selatan. - BERNAMA
#Bahari Awang Ngah #bayi #COVID-19 #Jabatan Kesihatan Pahang nafi #kebimbangan masyarakat #Korea Selatan #Tular #viral #WhatsApp
;