Tiada keraguan, DAP sokong perjuangan Palestin - Steven Sim
Astro Awani
April 30, 2019 19:01 MYT
April 30, 2019 19:01 MYT
Tidak perlu ragu lagi.
DAP memang sudah sekian lama menyokong dan bersetiakawan dengan Palestin dalam perjuangan rakyatnya menentang penindasan zalim rejim Zionis Israel.
Demikian ditegaskan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dalam satu kenyataan hari ini.
"Rakan-rakan dari Palestin telah beberapa kali mengadakan perjumpaan dan menyatakan penghargaan mereka terhadap solidariti dan sokongan DAP.
"Maka tidak perlu ditimbulkan sebarang keraguan terhadap pendirian DAP dalam isu Palestin-Israel," tegasnya menyatakan pendirian DAP dalam isu Palestin-Israel.
Sim mengakui, ucapan Senator Nga Hock Cheh di Dewan Negara minggu lalu telah mengundang kritikan banyak pihak.
Justeru itu, katanya, bagi mengelakkan salah faham berlanjutan serta fitnah daripada pihak-pihak yang cuba menangguk di air keruh, Nga telah memohon maaf dan menarik balik ucapannya.
"Semoga kita semua diberikan kefahaman yang lebih baik dalam isu-isu sensitif terutamanya yang melibatkan dasar luar negara dan perjuangan rakyat Palestin," kata Sim.
Nga, pemimpin DAP Perak, dalam ucapannya di Dewan Negara pada 24 April lalu, menggesa Putrajaya menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.
Kenyataannya itu telah menimbulkan pelbagai reaksi sehingga ada yang mengaitkan penjelasannya dengan propaganda zionis.
#DAP
#dasar luar negara
#Dewan Negara
#fitnah
#Israel
#isu sensitif
#mohon maaf
#Nga Hock Cheh
#Palestin
#penindasan
#salah faham
#Sim Chee Keong
#Steven Sim