Tiada keputusan jual air kepada Pulau Pinang - MB Perak

Aida Aziz
Disember 2, 2021 19:19 MYT
Saarani berkata penggunaan air domestik di Perak juga tidak mencukupi, khususnya di kawasan tertentu seperti utara negeri itu. - Gambar fail
IPOH: Perak memberi keutamaan kepada keperluan pengunaan air domestik sebelum membuat sebarang keputusan untuk menjual air mentah kepada negeri lain termasuk Pulau Pinang.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini kerajaan negeri juga tidak membuat sebarang keputusan untuk menjual air mentah kepada Pulau Pinang.
"Secara rasminya tidak ada apa-apa perbincangan dibuat, tidak ada MoU (perjanjian persefahaman) atau perjanjian lain. Melainkan ada sekali saya berjumpa secara tidak rasmi dengan Ketua Menteri Pulau Pinang.
"Mereka telah menyatakan hasrat (beli air mentah), tapi saya dah beri jawapan bahawa mereka tak boleh ambil air dari atas empangan sebab ia menggangu kestabilan air untuk janakuasa elektrik.
"Mereka boleh ambil dari bawah Empangan Chenderoh," katanya.
Saarani berkata demikian sebagai mengulas laporan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang masih menunggu maklum balas kerajaan Pusat berhubung hasrat membeli air mentah dari Perak menerusi projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).
Laporan itu menyebut, Pulau Pinang menghantar surat permohonan rasmi pada 19 Oktober tahun lalu kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk membeli air mentah dari Perak dengan harga yang berpatutan, namun belum mendapat sebarang maklum balas.
Dalam pada itu, Saarani berkata penggunaan air domestik di negeri ini juga tidak mencukupi, khususnya di kawasan tertentu seperti utara Perak.
"Rakan-rakan kita di utara Perak seperti Parit Buntar, Bagan Serai dan Taiping tak cukup air. Kalau kita nak jual air atau salurkan air sungai Perak ke tempat lain, kita mesti beri keutamaan kepada keperluan penggunaan domestik.
"Kita tidak boleh sewenang-wenangnya jual air keluar, nanti orang Perak marah. Kita tak mahu tersalah buat keputusan hingga menyebabkan kekurangan air di Perak tak dapat ditampung.
"Kalau itu (beli air) disebut dalam Dewan Negeri, itu hal Pulau Pinang tetapi bagi Perak kita belum ada apa-apa perjanjian rasmi dibuat," katanya lagi.
Terdahulu, Saarani menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Risda Livestock Sdn Bhd (RLSB) dan Pertubuhan Peladang Negeri Perak (PPPNP) di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP Yahanis Yahya dan Pengurus Operasi Risda Livestok, Syed Kudri Tuan Dalam.
#Kerajaan Negeri Perak #air mentah #pulau pinang #jual air
;