Tiada keperluan untuk diadakan PRK Gerik - Saarani

Amirrul Rabbani
Februari 3, 2022 16:32 MYT
Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tiada keperluan untuk pihaknya memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk berbuat demikian. - Bernama
IPOH: UMNO Perak berpandangan tidak perlu diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Gerik dalam tempoh terdekat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tiada keperluan untuk pihaknya memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk berbuat demikian.
Jelasnya, tempoh penggal Parlimen yang ke-14 akan berakhir pada tahun hadapan yang sekali gus akan memberi ruang untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU).
“Saya fikir tidak perlu (untuk diadakan PRK) kerana pilihan raya sebenar (untuk PRU, diramal) semakin hampir. Tempoh penggal Parlimen dijangka tamat pada Mei 2023, dan kini kita sudah memasuki Februari 2022.
“Kalau kita nak adakan PRK, ini bermakna ia harus diadakan pada Mei ini. Kemudian, setahun selepas itu atau mungkin lebih awal, kemungkinan Perdana Menteri membubarkan pula Parlimen.
“Oleh demikian, tidak ada makna untuk PRK Gerik itu, kita pun letih. Jadi pada saya, biarlah kerusi itu kosong sehingga Dewan Parlimen dibubarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di Hotel Weil, di sini, pada Khamis.
Saarani terdahulu ditanya pemberita sama ada UMNO Perak akan mengambil langkah sama seperti UMNO Sabah, yang memohon kepada SPR untuk diadakan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.
Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan berkata, PRK di DUN berkenaan dijangka diketahui dalam tempoh terdekat.
Mengulas lanjut, Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata tiada perbincangan setakat ini dalam peringkat parti berhubung soal PRK Gerik berkenaan.
“Tidak ada perbincangan dengan sesiapa (dalam hal ini). Akan tetapi jika ditanya pendapat saya, saya katakan tidak perlu PRK Gerik,” jelas beliau lagi.
Kerusi DUN Bugaya kosong setelah penyandangnya, Allahyarhamah Datin Manis Muka Mohd Darah Parti Warisan (Warisan), meninggal dunia pada 17 November 2020.
Sementara kekosongan Parlimen Gerik susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman (Barisan Nasional) akibat sakit jantung di Raub, Pahang, pada 16 November tahun sama.
Hasbullah memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan majoriti undi sebanyak 5,528.
PRK bagi kedua-dua kerusi berkenaan ditangguhkan sejak Januari tahun lalu susulan pengisytiharan darurat.
#Pilhan Raya Kecil #Gerik #Saarani Mohamad #UMNO
;