Tiada keperluan turun kuasa pantau harga barang kepada PBT - Nga Kor Ming

Abd Razak Mohd Ali
Mac 23, 2024 12:50 MYT
Nga hadir pada Majlis pecah tanah bangunan baharu Dewan Perhimpunan Cina Perak di Jalan Yeop Abdul Rani di Ipoh, hari ini. - Foto Astro AWANI
IPOH: Tiada keperluan ketika ini untuk menurunkan kuasa melakukan pemantauan harga barangan keperluan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, setakat ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.
Beliau juga yakin, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali akan mempertingkatkan lagi usaha pemantauan itu.
“Negara kita ada rukunnya, ada juga sistem. Kuasa KPDN sekarang berjalan dengan baik di mana dari segi pelaksanaannya perlu dipertingkatkan dan saya yakin di bawah pimpinan Datuk Armizan, usaha ini akan diperhebat,” katanya.
Majlis pecah tanah bangunan baharu Dewan Perhimpunan Cina Perak di Jalan Yeop Abdul Rani di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Pemuda UMNO mahu langkah penguatkuasaan dilakukan secara agresif bagi mengekang penjualan barangan asas utama, terutama beras dengan harga tidak masuk akal.
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata tindakan agresif itu termasuk melakukan pemeriksaan mengejut ke setiap kilang, pasar raya, kedai runcit serta kedai kecil seperti Kedai Aceh bagi menjalankan pemeriksaan teliti terhadap aktiviti jualan di premis berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan itu bukan hanya melihat seseorang pegawai atau anggota penguat kuasa masuk (ke dalam kedai) dan keluar sahaja (tanpa melakukan pemeriksaan), tetapi masuki dan memeriksa invois pembelian, invois jualan dan stok barangan sedia ada, malah digalakkan melakukan serbuan di premis perniagaan seperti itu secara rambang, bukannya berjadual.
"Undang-undang sudah ada, tetapi langkah penguatkuasaan (dilihat masih) lemah (termasuk) kekangan membabitkan jumlah pegawai penguat kuasa yang tidak ramai menyukarkan mereka untuk melakukan sedemikian (tindakan penguatkuasaan)," ujarnya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, dakwaan kononnya pasar borong Selayang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru dikuasai peniaga warga asing hanyalah persepsi.
“Itu bukan pemilik, mereka adalah pekerja asing yang sah. Mereka adalah pekerja, bukan peniaga tetapi kadang-kadang dia beri persepsi seolah-olah gerai tu milik mereka.
“Sebenarnya tidak, dia diupah untuk jadi pekerja dan memang ada permit untuk bantu,” ujarnya.
#pemantauan harga barangan keperluan #pihak berkuasa tempatan #Nga Kor Ming #pbt
;