Tiada keperluan tukar nama George Town kepada nama asal Tanjung Penaga - Kerajaan Pulau Pinang

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 15, 2022 06:09 MYT
Majlis pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin atau Vaccinated Travel Lane (VTL) antara Pulau Pinang dan Singapura di Hotel Malaysia, George Town pada Selasa. - Foto Astro AWANI
GEORGE TOWN: Nama George Town sudah terkenal di kalangan rakyat negara ini termasuk di peringkat antarabangsa.
Justeru, tiada sebarang keperluan dan justifikasi untuk Kerajaan Pulau Pinang menukar nama George Town kepada nama asalnya Tanjung Penaga sebagaimana yang dinamakan pada zaman penjajahan British dahulu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin berkata, nama George Town telah digunakan lebih 200 tahun dan telah dikenali sebagai ibu negeri Pulau Pinang oleh semua pihak.
"Saya nampak tidak ada keperluan atau justifikasi untuk tukar nama George Town sebab nama George Town sudah diterima setiap rakyat, sudah lama.
"Nama George Town ini dipakai sejak 200 tahun lebih, ia sudah dikenali rakyat di Pulau Pinang, malah masyarakat dunia.
"George Town dikenali sebagai capital ( ibu negeri) dan selama ini Pulau Pinang dan George Town juga sudah mendapat banyak pengiktirafan di peringkat antarabangsa," katanya.
Mengulas lanjut, Soon Hin berkata, cadangan tersebut dibuat oleh segelintir individu namun ia tidak semestinya dituruti.
Beliau berkata demikian selepas sidang media sempena pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin atau Vaccinated Travel Lane (VTL) antara Pulau Pinang dan Singapura di Hotel Malaysia, George Town pada Selasa.
Media sebelum ini, melaporkan pandangan Pakar Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Ketamadunan dan Pemikiran Islam Antarabangsa (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican yang mencadangkan penukaran nama George Town kepada nama asal iaitu Tanjung Penaga.
Turut dicadangkan penukaran nama asal Butterworth kepada nama Bagan dan Port Dickson (Tanjung), selepas cadangan penukaran nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka dibuat baru-baru ini.
Pada 7 Julai 2008 George Town telah menerima pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Bandaraya Warisan Dunia.
#George Town #penukaran nama #Tanjung Penaga #kerajaan pulau pinang