Tiada keperluan tubuh RCI siasat gangguan air di Selangor - MB

Bernama
Mei 26, 2019 23:32 MYT
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata ini kerana semua punca berlakunya gangguan bekalan air di Selangor telah berjaya dikenalpasti dan diatasi. - Gambar fail/Astro AWANI
Tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu serta punca gangguan bekalan air yang sering berlaku di negeri ini.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata ini kerana semua punca berlakunya gangguan bekalan air di Selangor telah berjaya dikenalpasti dan diatasi.
"Setakat ini saya rasa tidak perlu kerana semua sebab musabab berlakunya gangguan bekalan air telah diatasi.
"Gangguan air paling serius berlaku di Klang berikutan paip pecah di tapak pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat yang memberi kesan terhadap kira-kira 400,000 pengguna pada 5 Mei lepas dan kita berjaya atasi dalam masa enam ke tujuh hari.
"Kita tidak dapat atasi segera masalah ini kerana terdapat beberapa insiden susulan yang membuatkan kerja-kerja membaiki paip berkenaan memakan masa yang lama, mengenai insiden ini saya masih lagi menunggu laporan penuh dari Air Selangor," katanya ketika ditanya mengenai gesaan sesetengah pihak supaya RCI dibentuk bagi menyiasat dengan lebih mendalam punca gangguan air sering berlaku di Selangor.
Amirudin berkata demikian di Majlis berbuka puasa bersama media, Majlis Sukan Selangor, Persatuan Bola Sepak Selangor, Selangor United dan PKNS FC di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Nurini Kassim dan Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor Incorporated, Soffan Affendi Aminudin.
Sementara itu, Amirudin dalam ucapan aluannya di majlis itu berkata Selangor sentiasa mengamalkan konsep terbuka terhadap sebarang laporan media.
Katanya prinsip berkenaan selari dengan semangat 'Malaysia Baru' yang menerima segala kritikan dari media berkenaan pentadbiran kerajaan negeri.
"Ini adalah keterbukaan dan demokrasi serta sebahagian dari sumber penting yang menguatkan kerajaan negeri," katanya.
Amirudin turut menekankan kepentingan laporan media berimbang dan bertanggungjawab.
Katanya, tindakan itu sebagai langkah memastikan kerajaan negeri berada pada landasan betul.
Katanya, antara kesilapan yang lepas dalam pentadbiran negara, ialah apabila media tidak diberikan perkara betul.
"Sebahagian berita ditapis dan akhirnya kita tidak dapat corakkan polisi atau laporan terbaik untuk rakyat," katanya.
-- BERNAMA
#Air Selangor #Amirudin Shari #gangguan bekalan air #Lebuh Raya Pantai Barat #Menteri Besar Selangor #paip pecah #RCI #Suruhanjaya Siasatan Diraja
;