Tiada keperluan tangguh peperiksaan SPM - PIBGN

Astro Awani
Januari 14, 2021 15:35 MYT
Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, walaupun pelbagai cabaran dihadapi pelajar ketika ini, namun tempoh masa yang diberikan sudah cukup memadai. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) melihat tiada keperluan untuk meminda atau menangguhkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan utama lain.
Presidennya, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, walaupun pelbagai cabaran dihadapi pelajar ketika ini, namun tempoh masa yang diberikan sudah cukup memadai untuk mereka menghadapi peperikasaan penting itu pada tarikh yang sudah ditetapkan.
"Saya kira kalau nak anjak (tarikh SPM) akan merunsingkan mereka. Kita juga tidak pasti sama ada penularan COVID-19 ini akan pulih atau tidak, masalah banjir juga tidak tentu pada masa akan datang.
"Yang penting siap siaga, disiplin dan kuatkan semangat kerajinan untuk menempuh cabaran," katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
BACA: Peperiksaan SPM tidak boleh ditangguhkan lagi - NUTP
Beliau mengulas mengenai kebanyakan calon SPM yang meluahkan kerisauan di media sosial dalam menghadapi peperiksaan itu dan ada yang mencadangkan agar ia ditangguhkan ke tarikh lain.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminda tarikh peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ke 22 Februari 2021.
Tambahnya, cabaran yang dilalui pelajar pada ketika ini bukan sahaja di Malaysia, malah semua di seluruh dunia.
"Saya percaya KPM memikirkan semasak-masaknya penangguhan dan tarikh kemasukan pelajar peperiksaan ini. Saya rasa akan menyulitkan lagi keadaan (jika ditangguhkan) sebab pelajar baharu juga perlu diambil juga," ujarnya.
Justeru, beliau berharap ibu bapa memainkan peranan penting dalam membangkitkan semangat anak-anak mereka yang bakal menghadapi peperiksaan penting itu.
"Ibu bapa mesti turut sama memahami bahawa ibu bapa dan anak hadapi cabaran yang perlu dihadapi bersama.
"Berilah apa bimbingan dan sokongan kepada pelajar yang akan ambil pepriksaan. Dengan dorongan, pelajar akan dapat atasi cabaran dan kesiapsiagaan untuk menduduki peperiksaan," katanya lagi.
Sementara itu, turut senada ialah Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang yang melihat penundaan tarikh SPM hanya akan menggangu perjalanan sekolah dan pelajar lain.
Pada masa sama, ia akan menimbulkan masalah kekurangan guru untuk mengajar, kelas dan isu logistik lain.
"Kita juga perlu lihat aspek lain, iaitu kalau tarikh SPM diubah, antaranya dari segi pengurusan peringkat sekolah. Tahun ini ada dua calon SPM tahun 2020 dan tahun 2021.
"Jadi kalau tengok, dari segi secara dasar, sekiranya calon SPM 2020 lama berada di sekolah, maka kita tidak cukup guru, dan kalau penangguhan dibuat untuk SPM 2020, pelajar Tingkatan 2 dan 3 tidak akan dapat masuk sekolah sebab sekolah akan alami kekurangan kelas dan aspek logistik lain," ujarnya lagi.
NUTP juga yakin guru-guru mampu membimbing calon SPM yang berbaki tempoh kira-kira sebulan sebelum peperiksaan sebenar.
"Apabila 20 Januari sekolah dibuka, dan tarikh peperiksaan kekal, guru dan murid Tingkatan 5 ada masa sebulan lebih untuk belajar bersemuka dan guru mampu memberikan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan mantap lagi. Jadi tiada isu SPM ditangguhkan lagi," tambahnya.
#Astro #Astro Awani #Sijil Pelajaran Malaysia #SPM #pengajaran dan pembelajaran #Kementerian Pendidikan #COVID-19 #guru #calon #Malaysia #sekolah #pendidikan #pelajar
;