Tiada keperluan sidang tergempar Parlimen mengenai 1MDB
Luqman Hariz
Julai 26, 2016 11:18 MYT
Julai 26, 2016 11:18 MYT
Tiada keperluan untuk mengadakan sidang Parlimen tergempar atau menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani menambah, isu 1MDB bukan sesuatu yang baru dan kerajaan sudah pun mengambil langkah untuk memperbaiki kelemahan pengurusan dan tadbir urus syarikat pelaburan strategik itu.
"Siasatan isu 1MDB ini sudah pun merupakan siasatan paling intensif, jadi saya tidak fikir semua ini perlu," katanya ketika merasmikan Taklimat Ekonomi Kebangsaan anjuran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) di sini hari ini.
"Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berhak lakukan siasatan tersebut, kerana dakwaan penyelewengan dana dan penggubahan itu berlaku di negara mereka," tambahnya.
Datuk Johari turut menafikan 1MDB berurusan dengan individu-individu yang dinamakan dalam laporan DOJ.
"1MDB tiada sebarang urusan dengan individu-individu di dalam laporan tersebut, buat masa ini kami hanya berurusan dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) (mengenai isu pertelingkahan pembayaran faedah bon)," katanya.
Beliau menambah, Kementerian Kewangan merancang untuk membawa pertikaian tersebut ke Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London.
"Kerajaan tidak akan melindungi sebarang individu yang didapati bersalah dalam hal 1MDB ini, tidak kira apa kesalahan yang mereka lakukan atau di mana saja ia dilakukan," katanya.
Tanpa memberi sebarang maklumat lanjut, beliau juga berkata pihak kerajaan telah pun menerima dana hasil penjualan aset tenaga 1MDB kepada China General Nuclear Power Corporation (CGN).
Pada November 2015, 1MDB mengumumkan perjanjian jual beli saham dimeterai dengan CGN bagi membolehkan ia menerima RM9.3 bilion, di samping pengambilalihan hutang sebanyak RM7.43 bilion.
Dalam pada itu Datuk Johari berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa langkah untuk merangsang ekonomi negara yang terkesan dengan kelembapan ekonomi global.
Bagaimanapun katanya, kerajaan perlu berhati-hati untuk tidak meningkatkan komitmen dan paras hutangnya dalam memperkenalkan sebarang rangsangan ekonomi.
"Saya tidak dapat mendedahkan sebarang maklumat lanjut kerana kami masih berada dalam peringkat perbincangan dengan beberapa kumpulan fokus," katanya.
"Tetapi kita perlu melihat keupayaan dan kemampuan kewangan kerajaan untuk melakukan sebarang rangsangan ekonomi, kita tidak boleh melakukan sesuatu yang akan terus meningkatkan pinjaman negara. Kita perlu cari keseimbangan," tambahnya.