Tiada keperluan sediakan kemudahan penginapan untuk jemaah transit - TH

Bernama
Julai 25, 2018 17:06 MYT
Syed Saleh semasa sidang media berhubung dakwaan penarikan kemudahan penginapan jemaah, di Sepang, hari ini. --fotoBERNAMA
Tiada keperluan untuk Lembaga Tabung Haji (TH) menyediakan kemudahan penginapan percuma bagi "jemaah transit" kerana penambahbaikan perkhidmatan telah dilakukan bermula musim haji tahun ini.
Pengurus Besar Kanan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata antara penambahbaikan yang dilakukan termasuk penerbangan transit terus dari lapan stesen berlepas lain.
"Kini bakal jemaah transit daripada stesen lain tidak perlu keluar dari KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) ke Kompleks TH Sepang kerana penerbangan mereka akan diteruskan dengan penerbangan sewa khas ke Tanah Suci," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, pada musim-musim haji terdahulu, TH menyediakan kemudahan penginapan percuma di Kompleks TH Kelana Jaya kepada para bakal jemaah haji transit dari stesen lain atas kekangan penerbangan atau jadual penerbangan transit awal yang melebihi satu hari sebelum mereka bertolak ke Tanah Suci.
"Pada musim ini TH telah bekerjasama dengan Malaysia Airlines untuk mengatur jadual penerbangan jemaah dari stesen lain ke KLIA. Ini akan membolehkan bakal jemaah hanya perlu menunggu dua ke tiga jam sebelum berlepas ke Tanah Suci," katanya.
Dengan tiadanya keperluan kemudahan penginapan jemaah tersebut Syed Saleh berkata TH dapat menggunakan peruntukan tersebut untuk menyediakan kemudahan lain untuk jemaah ketika berada di tanah suci.
Bagaimanapun, bagi bakal jemaah dan waris yang memilih untuk datang lebih awal dari tarikh dan waktu melapor diri yang ditetapkan, Hotel Movenpick yang terletak bersebelahan Kompleks TH di sini menyediakan bilik penginapan dengan kadar diskaun khas, katanya.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad meminta TH untuk mengembalikan perkhidmatan penginapan percuma kepada bakal jemaah haji yang transit di kompleks urusan jemaah haji di Sepang pada musim haji kali ini.
Dalam pada itu, Syed Saleh yang juga merangkap Ketua Rombongan Haji berkata setakat ini proses perjalanan jemaah haji negara ini berjalan lebih lancar sejak pelaksanaan program pra pelepasan imigresen Arab Saudi yang bermula tahun ini.
"Melalui pra pelepasan ini jemaah Malaysia yang tiba di Tanah Suci hanya perlu melalui proses am kira-kira 40 ke 50 minit berbanding terpaksa menunggu lebih kurang empat jam atau semasa waktu puncak sehingga 10 jam," katanya.
Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mendapat kebenaran Arab Saudi untuk melaksanakan proses pra-pelepasan imigresen di tanah air.
--BERNAMA
#Haji #Hotel Movenpick #jadual #jemaah #kemudahan #Kompleks TH #Malaysia #Malaysia Airlines #noraini ahmad #penerbangan #Penginapan #peruntukan #Sepang #Tabung Haji #transit #waris
;