MELAKA:Tiada keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet pada masa ini kerana kerajaan sedia ada berfungsi dengan baik, khususnya ketika negara kini berdepan penularan COVID-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata desas-desus berkaitan rombakan Kabinet mungkin hanyalah kenyataan peribadi sesetengah pemimpin dan tidak mewakili mana-mana parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

"Saya baru lepas bermesyuarat bersama Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) petang tadi (semalam) dan dalam perbincangan itu tidak perlu kita rombak Kabinet pada masa ini.

"Apabila tiba masa Kabinet dilihat tidak berfungsi dengan baik, ketika itulah keputusan untuk merombak Kabinet boleh dibuat. Jadi tidak perlulah mendesak perdana menteri untuk melakukan rombakan Kabinet," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Pengamal Media Cetak dan Elektronik Negeri Melaka di sini, malam tadi.

Mohd Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, berkata semua pemimpin parti gabungan PN sama ada yang mempunyai jawatan atau tidak dalam Kabinet, perlu bersatu mengukuhkan pentadbiran kerajaan hari ini demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata semua pemimpin parti politik juga perlu bertanggungjawab dan berjuang untuk rakyat khususnya meredakan keresahan mereka terhadap situasi semasa politik negara yang masih belum stabil dan keadaan ekonomi yang terjejas ekoran penularan COVID-19.

Mohd Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata pemimpin yang pentingkan diri sendiri perlu ditolak kerana mereka hanya akan memberi kesan negatif khususnya dalam usaha gigih kerajaan mengekang penularan pandemik itu.

Sementara itu, beliau berkata Muhyiddin juga tidak perlu tunduk kepada pelbagai desakan termasuk meletak jawatan kerana beliau telah menjalankan tanggungjawab dengan baik sehingga hari ini.

Mengulas mengenai laporan media mendakwa Muhyiddin akan mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berhubung situasi semasa politik negara, Mohd Redzuan berkata perbincangan itu dijangka lebih ke arah persetujuan bersama agar isu rombakan Kabinet tidak ditimbulkan lagi.

BACA: Sokong Anwar: Surat palsu untuk jatuhkan imej Ahmad Zahid - SUK UMNO

BACA: Muhyiddin hilang kawalan jika tunduk kepada UMNO - Khalid Samad

BACA: Surat Zahid, Najib sokong Anwar mungkin hanya spekulasi - Khaled Nordin

-- BERNAMA