Tiada keperluan mendesak fatwakan GISB sesat di Terengganu - Mufti
Sinar Harian
November 3, 2024 14:30 MYT
November 3, 2024 14:30 MYT
KUALA TERENGGANU: Terengganu masih belum memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd mengandungi unsur ajaran sesat berikutan tiada keperluan mendesak susulan jumlah pengikut kumpulan tersebut yang tidak ramai di negeri ini.
Ringkasan AI
- Terengganu belum memutuskan sama ada ajaran GISB mengandungi unsur ajaran sesat kerana jumlah pengikut yang tidak ramai di negeri ini.
- Pihak berkuasa sedang memantau GISB dan akan membincangkan isu ini dalam Majlis Fatwa Terengganu setelah menerima resolusi daripada Majlis Raja-Raja Melayu.
- Enam negeri lain telah mengisytiharkan ajaran GISB sebagai sesat dan bercanggah dengan Islam.
Mufti Terengganu, Datuk Mohamad Sabri Harun berkata, bagaimanapun perkara tersebut akan dibincangkan dalam peringkat Majlis Fatwa Terengganu selepas pihaknya menerima resolusi daripada Majlis Raja-Raja Melayu.
"Pengikut GISB di Terengganu ini tidak begitu ketara dan terpencil. Ia tak begitu banyak dan kalau ada isu pun mereka sendiri sudah pun keluar dari Terengganu tetapi pihak berkuasa sedang memantau perjalanan mereka setakat ini.
"Jadi ia tidak begitu serius maka kita belum bawa isu ini tetapi kita akan bawa juga setelah mendapat maklumat lengkap yang akan dibawa dalam Majlis Fatwa Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu Tahun 2024 di Wisma Darul Iman, di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabri berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia terlebih dahulu mengenai isu tersebut.
Beliau menambah keputusan di peringkat negeri akan dipersembahkan untuk mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, sebelum ajaran dan kepercayaan GISB difatwakan sesat.
Ketika ditanya mengenai langkah negeri-negeri yang lain yang telah memfatwakan gerakan GISB sebagai haram, Mohamad Sabri menjelaskan ia boleh dilaksanakan mengikut keadaan di sesebuah negeri berkenaan.
"Disebabkan di Terengganu ini, (GISB) tidak begitu ketara, ia adalah terpencil, jadi maksudnya tidak begitu serius (untuk difatwakan secepat mungkin).
"Lagipun, pihak berkuasa pun ada membuat pemantauan mengenai mereka, namun kita tetap akan bincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu nanti," jelas beliau.
Setakat ini enam negeri telah mengisytiharkan ajaran dan amalan GISB sebagai sesat dan bercanggah dengan Islam iaitu Perlis, Selangor, Pahang, Melaka, Sabah, dan Pulau Pinang. -Sinar Harian