Tiada keperluan lanjut had umur bersara - PM

Bernama
September 3, 2019 17:35 MYT
Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada keperluan untuk melanjutkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun. - Gambar BERNAMA
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada keperluan untuk melanjutkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun.
Beliau bersetuju dengan pendapat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengekalkan had umur bersara pada 60 tahun agar ia tidak menyekat peluang pekerjaan generasi muda.
"Jangan kata Perdana Menteri berumur 94 tahun tidak bersara pun. Saya bukan tidak bersara, tetapi dipanggil semula untuk bekerja.
"Kalau kita tetapkan pegawai bersara umur 65 tahun, 'deadwood' nanti pun duduk atas kerusi itu dan orang lain tidak boleh duduk (naik pangkat).
"Bagi saya, eloklah sampai 60 tahun," katanya pada satu sidang media bersama media Malaysia sempena lawatan rasmi tiga harinya ke Kemboja, hari ini.
Dr Mahathir berkata, terdapat negara yang tiada had umur bersara dan mereka boleh kerja sampai bila-bila tetapi ia akan menyekat peluang generasi muda.
"Zaman saya dulu, kita melanjutkan had usia bersara dari 55 kepada 56 tahun sebelum ia dilanjutkan sehingga 60 tahun oleh kerajaan selepas saya," katanya.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan agar had usia bersara dilanjutkan kepada 65 tahun seperti di negara-negara maju termasuk Singapura.
Semalam, Syed Saddiq yang membantah cadangan itu berkata, kerajaan harus memberi fokus untuk menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada generasi muda dan bukan menyekat potensi mereka. - BERNAMA
#60 tahun #65 tahun #had umur bersara #kerajaan #Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #tiada keperluan #usia persaraan
;