Tiada keperluan laluan khas kanak-kanak di bazar Ramadan

Shuhada Abdul Kadir
April 7, 2022 21:49 MYT
Ibu bapa perlu lebih berdisiplin dalam menitik beratkan kesihatan anak-anak dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. - Gambar hiasan/ Bernama
JASIN: Kerajaan negeri tidak bercadang membuka laluan khas bagi ibu bapa yang membawa anak kecil di bazar Ramadan di seluruh Melaka.
Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata sebaliknya ibu bapa perlu lebih berdisiplin dalam menitikberatkan kesihatan anak-anak dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Beliau berkata tiada larangan dikuatkuasakan bagi ibu bapa membawa kanak-kanak berumur bawah 12 tahun ke bazar Ramadan namun ia tidak digalakkan kerana kebanyakan mereka belum menerima vaksin.
"Cadangan untuk membuat laluan khas ini terlalu suntuk untuk dilakukan kerana tinggal kurang 25 hari bazar Ramadan beroperasi. Perkara ini juga seharusnya diteliti dua atau tiga bulan lebih awal untuk memastikan kesesuaian pelaksanaannya daripada pelbagai aspek termasuk tempat untuk mengelakkan kesesakan.
"Tiada undang-undang yang menghalang namun ia di bawah tanggungjawab ibu bapa sepenuhnya selain mereka perlu mematuhi SOP ditetapkan dan kita tidak mengalakkan untuk bawa anak kecil ke bazar terutama tempat yang sesak dan padat," katanya.
Terdahulu, Muhamad Akmal diiringi Pengarah Kesihatan negeri Dr Rusdi Abdul Rahman meninjau bazar Ramadan dan Kempen Keselamatan Juadah di Bazar Ramadan Pekan Merlimau di sini.
Dalam perkembangan lain, katanya Jabatan kesihatan Negeri (JKN) telah mengeluarkan 14 kompaun bernilai RM7,600 terhadap beberapa hotel sekitar Melaka yang menganjurkan bufet Ramadan.
Muhamad Akmal berkata pemeriksaan dilakukan ke atas 27 hotel dan tindakan itu diambil membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Sekyen 32B Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
"Selain itu, JKN mengeluarkan tiga kompaun bernilai RM450 kepada premis di gerai bazar Ramadan dan satu kompaun bernilai RM2,500 ke atas kilang ais ketika pemeriksaan di kesemua 398 premis dengan kesemua premis menepati tahap penilaian kebersihan melebihi 80 peratus.
"Pemeriksaan ini bagi memastikan kesemua premis yang menjual makanan mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan dan memastikan makanan yang disediakan serta dikendalikan adalah selamat dan tidak memberi risiko kepada pembeli," katanya.
#Bazar Ramadan #Melaka #Kanak-kanak #laluan khas
;