Tiada keperluan kekalkan AES jika Kejara berkesan - Mahfuz

Norsiah Mohd Ramli, Hafiz Marzukhi
Mac 17, 2016 10:48 MYT
Mahfuz (gambar) berkata jika sistem demerit dilaksanakan, pemberian denda untuk menghukum pemandu akan menjadi tidak relevan. -Gambar fail
Tiada keperluan untuk mengenakan denda kepada pesalah trafik jika pelaksanaan sistem pemberian mata demerit kesalahan jalan raya (Kejara) menepati sasarannya.
Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) berkata jika sistem demerit dilaksanakan, pemberian denda untuk menghukum pemandu akan menjadi tidak relevan.
"Jika sistem Kejara ini dibuat supaya berlaku adil kepada orang kaya dan miskin, tidak perlulah pihak berkuasa mengenakan kompaun ke atas mereka ini, terutama golongan miskin," kata Mahfuz ketika menanyakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi (BN-Sri Gading).
"Sistem Kejara ini akan diintegrasikan dengan AES di mana ia akan memastikan layanan adil buat semua.
"Apabila seseorang membayar saman, mata demerit dalam sistem Kejara masih ada," kata Abdul Aziz.
Oleh itu, jelas Abdul Aziz, sistem ini akan mendidik pengguna jalan raya supaya berhemah di jalan raya agar lesen kenderaan mereka tidak digantung apabila mencapai tahap mata demerit tertentu.
#Abdul Aziz Kaprawi #kejara #kesalahan jalan raya #Mahfuz Omar #sistem mata demerit
;