Tiada keperluan debat projek tambak laut Pulau Pinang Selatan - Kon Yeow
Dewi Nur Harasha Alias
April 30, 2023 18:00 MYT
April 30, 2023 18:00 MYT
GEORGE TOWN: Tiada keperluan untuk berdebat berhubung Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) kerana segala pertikaian mengenainya sudahpun dibincangkan secara panjang lebar sebelum ini.
Itu reaksi Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika diminta mengulas cabaran debat Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berhubung isu pembangunan PSI.
Jelas Kon Yeow, kerajaan negeri bersama rakan pelaksana projek sudah melalui proses yang panjang selama tujuh hingga lapan tahun termasuk penglibatan serta pameran awam dengan semua pihak boleh dan telah mengambil bahagian dalam proses itu.
Beliau berkata, fokus ketika ini adalah untuk memulakan proses tebus guna membina pulau dan kerajaan negeri terlebih dahulu akan mengumumkan cadangan yang akan dilakukan dalam PSI khususnya melibatkan Pulau A pada minggu akan datang.
"Jabatan Alam Sekitar dengan semua agensi teknikal sudah pun letakkan syarat-syarat... sekiranya kami tidak dapat patuhi syarat, EMP pun tidak akan diluluskan... kalau boleh diluluskan maksudnya ia melalui satu scrutiny yang begitu rapi oleh semua jabatan.
"Jadi sekarang kita perlulah tunggu pelaksanaan baru kita dapat buktikan kita mampu untuk tunaikan syarat-syarat yang diletakkan bersama dengan kelulusan ini," katanya.
Bagaimanapun Kon Yeow berkata sekiranya masih ada pihak yang tidak berpuas hati mereka berhak membawa perkara itu ke mahkamah.
Kon Yeow berkata demikian kepada media selepas merasmikan pembukaan sambutan Hari Wesak 2023 Pulau Pinang di Persatuan Buddha Malaysia di George Town pada Ahad.
Pada Sabtu, Dominic mencabar Kon Yeow berdebat isu pembangunan PSI dan memberikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu peluang menetapkan tarikh, masa dan lokasi debat.
PSI membabitkan penambakan laut secara besar-besaran termasuk pembinaan tiga pulau buatan dengan keluasan kira-kira 1,700 hektar dan merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.