'Tiada keperluan ahli PAC angkat sumpah rahsia' - Pengerusi

Hafiz Marzukhi
November 2, 2015 06:37 MYT
HASAN: Sebagai Ahli Parlimen, setiap ahli PAC telah pun mengangkat sumpah. - Gambar fail
Tiada keperluan bagi ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengangkat sumpah kerahsiaan, kata Pengerusinya Datuk Hasan Arifin.
Menurut beliau, ini kerana sebagai Ahli Parlimen, setiap ahli PAC telah pun mengangkat sumpah.
"Jadi, saya menekankan bahawa tiada keperluan untuk ahli PAC mengangkat sumpah," kata Hasan dalam sidang media pertamanya sebagai Pengerusi PAC hari ini.
Sebelum ini, terdapat cadangan bagi ahli PAC untuk mengangkat sumpah simpan rahsia.
Saranan tersebut dibuat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan tindakan itu perlu supaya ahli PAC tidak mendedahkan dokumen dari hasil siasatan jawatankuasa tersebut.
Sementara, Hasan turut ditanya mengenai penglibatan ahli PAC Tony Pua yang ingin berdebat secara langsung di televisyen dengan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy.
"Saya sudah nyatakan bahawa ianya terpulang kepada Tony Pua," jawab beliau ringkas.
Ditanya jika ada peraturan dalam PAC yang tidak membenarkan Pua untuk berdebat, Hasan berkata setahu beliau, tidak wujud peraturan sedemikian.
"Saya tidak pasti. Setahu saya tidak ada," jawab Hasan lagi.
#Hasan Arifin #kerahsiaan #PAC #Sumpah