Tiada kenaikan harga tepung gandum seperti yang ditularkan - Menteri
Umavathi Ramayah
Jun 22, 2021 12:08 MYT
Jun 22, 2021 12:08 MYT
KUALA LUMPUR : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjelaskan tiada kenaikan harga tepung gandum mulai 1 Julai depan, seperti yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi memberitahu, setakat ini tiada kelulusan diberikan kepada mana-mana pengilang untuk menaikkan harga tepung gandum.
Menurutnya, sehingga kini, KPDNHEP hanya menerima satu permohonan daripada pihak pengilang untuk menaikkan harga tepung gandum tanpa subsidi dalam pek satu kilogram (kg) dan pek 25kg.
"Oleh yang demikian, dakwaan kenaikan harga tepung gandum mulai 1 Julai 2021 adalah tidak benar," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Alexander memberitahu, harga tepung gandum masih ditetapkan pada harga RM1.35 setiap satu kg.
Sejak dua minggu yang lalu tular, beberapa hantaran dalam laman sosial yang mengatakan harga tepung gandum akan meningkat bermula 1 Julai depan.
#Tepung gandum
#KPDNHEP
#pengguna
#harga tepung gandum
#Alexander Nanta Linggi
#pengilang
#media sosial
#Tular
#konsumer