Tiada kenaikan 5 peratus sewa di Mara Digital Mall - Ismail Sabri

Wan Syamsul Amly
September 28, 2017 15:00 MYT
ISMAIL: KKLW menafikan kenaikan kadar sewa sebanyak lima peratus di Mara Digital Mall menjelang November ini. - Gambar fail
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menafikan kenaikan kadar sewa sebanyak lima peratus di Mara Digital Mall menjelang November ini.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu kemerosotan jualan dilihat tidak berlaku selain sentiasa berusaha membantu peniaga di lokasi berkenaan.
"Tidak betul (sewa naik). Sewa kekal, Insya-Allah kita kita akan buka dua lagi di Kuantan dan Ipoh. Kuantan pada 28 Oktober dan Ipoh pada 12 Oktober ini," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Fasa 2 anak syarikat kementerian itu di sini, hari ini.
Sebuah portal sebelum ini melaporkan beberapa peniaga Mara Digital Mall di Kuala Lumpur mengeluh kadar sewa akan dinaikkan 5 peratus November ini, ketika jualan mereka merosot sehingga 60 peratus berbanding tahun pertama pusat ICT itu beroperasi.
Kompleks Mara Digital Mall merupakan projek pembangunan komersil industri ICT yang mana usahawan-usahawan ICT bumiputera yang berada di dalam ran­taian hadapan industri ditempatkan di dalam satu premis bagi memberi satu alternatif kepada orang ramai bagi mendapatkan produk-produk tulen dan perkhidmatan.
Pusat itu juga menterjemahkan usaha transformasi bagi mewujudkan Techno-Hub Usahawan Belia yang Berpendapatan Tinggi.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, promosi besar-besaran bagi meningkatkan perniagaan usahawan Bumiputera di Mara Digital Mall akan dimulakan 17 Oktober ini, susulan laporan kejatuhan jualan dan jumlah pelanggan di pusat ICT itu.
Jelasnya, promosi itu termasuk pengiklanan di papan tanda gergasi, institusi pendidikan Mara dan pemasangan 'bunting' di sekitar Kuala Lumpur, selain pelbagai program anjuran syarikat pengeluar barangan IT sendiri.
Dalam pada itu kata Ismail, pihaknya sudah membuat perbincangan bersama Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menutup Jalan Mara pada hari Sabtu dan Ahad untuk beberapa acara melibatkan anak muda.
"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada dasarnya sudah bersetuju Jalan Mara ditutup pada hari Sabtu dan Ahad supaya memeriahkan Jalan Mara di antara Kompleks Pertama.
"Ia akan ditutup pada hujung minggu dan diisi dengan program anak muda untuk membantu meningkatkan jualan di Mara Digital Mall. Kita juga akan dapatkan surat bertulis DBKL untuk hal ini," jelasnya.
Lebih sejuta pengunjung dengan lebih RM18 juta jualan dicatatkan Mara Digital Mall Kuala Lumpur tahun lalu dan setakat Ogos tahun ini, ia merekodkan 585,580 pengunjung dengan jualan melebihi RM7.6 juta.
#DBKL #ismail sabri yaakob #Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah #KKLW #MARA #MARA Digital Mall #Techno-Hub Usahawan Belia yang Berpendapatan Tinggi
;