Tiada kemasukan pekerja asing, pembantu rumah sehingga 31 Disember - Saravanan
Bernama
September 19, 2021 14:05 MYT
September 19, 2021 14:05 MYT
PUTRAJAYA: Agensi Pekerjaan Swasta yang berdaftar dan diberikan lesen oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) dinasihat tidak membuat sebarang kenyataan atau pengiklanan yang mengelirukan majikan berhubung kemasukan pembantu rumah asing dari negara sumber.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata, umum mengetahui majoriti pembantu rumah asing di negara ini adalah dari Indonesia dan ketika ini KSM masih di peringkat rundingan bersama pihak Indonesia bagi memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pengambilan Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI) yang telah tamat pada 30 Mei 2016.
Beliau berkata sehingga Ogos 2021, terdapat seramai 92,481 pembantu rumah asing di negara ini dan daripada jumlah ini 64,181 adalah pengambilan PDI.
"Saya ingin mengingatkan para majikan bahawa tiada kemasukan pekerja asing ke negara ini termasuk pembantu rumah asing dari negara-negara sumber sejak pelaksanaan Pergerakan Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac 2020 susulan pandemik COVID-19.
"Lanjutan itu, kerajaan memutuskan bahawa tiada kemasukan bagi kedua-dua kategori pekerja asing tersebut sehingga 31 Dis 2021," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau sebarang keputusan untuk membawa masuk pekerja asing termasuk pembantu rumah asing akan diumumkan oleh kerajaan secara rasmi selepas perbincangan antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), KSM, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan kementerian lain yang berkaitan.
-- BERNAMA