Tiada kemalangan jiwa dalam kebakaran Uptown Kota Damansara
Nickyson Nyambar
November 20, 2023 23:20 MYT
November 20, 2023 23:20 MYT
PETALING JAYA : Tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan dalam insiden kebakaran melibatkan Uptown Kota Damansara sekitar jam 8 malam Isnin.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Selangor Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataannya bagaimanapun memberitahu gerai-gerai di kawasan itu musnah teruk sehingga 90 peratus.
“Kebakaran melibatkan kawasan bangunan gerai-gerai Uptown Kota Damansara berkeluasan 70×100 kaki persegi yang 90 peratus terbakar.
“Kejadian itu turut hampir memusnahkan sebuah pusat gimnasium Kelas B berkeluasan 40x60 kp terbakar 50 peratus.
"Kebakaran dapat dikawal pada pukul 9.06 malam,” menurut PGO Selangor dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelas pihak bomba lagi, PGO menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 8.34 malam.
Komander Operasi PBK I KUP Narmizi Bin Hamzah turut mengesahkan sebanyak empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, BBP Kota Anggerik, BBP Damansara dan BBP Petaling dikerahkan ke lokasi kejadian.
Tambahnya, kerja-kerja pemadaman sepenuhnya sedang dilakukan oleh anggota Bomba.
Punca kebakaran bagaimanapun masih dalam siasatan.