Tiada kelulusan SPM boleh mohon jadi tenaga pengajar institut memandu - Anthony Loke
Pia Ernadya
Jun 25, 2024 19:10 MYT
Jun 25, 2024 19:10 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan individu yang berhasrat menjadi tenaga pengajar di institut memandu (IM) namun tidak mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diberikan kelonggaran.
Menurutnya, ini susulan maklum balas bahawa terdapat ramai pemandu yang berkelayakan menjadi pengajar tetapi tidak diberi peluang kerana tiada SPM.
"Sukacita saya umumkan bahawa suatu program khas akan diadakan untuk memberi pengecualian kepada pemohon-pemohon yang tidak memiliki sijil SPM untuk mengikuti Kursus Sijil Pengajar Institut Memandu dan menjadi pengajar bertauliah," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-4 Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia (PIMA), pada Selasa.
Tambah Loke, program khas tersebut akan dilaksanakan untuk tempoh enam bulan bermula 1 Julai 2024 hingga 31 Disember di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia.
"Ingin ditekankan bahawa para pemohon tersebut juga masih perlu mengikuti semua peringkat kursus dan melepasi ujian-ujian yang ditetapkan sebelum memperoleh Sijil Pengajar yang sah," katanya.
Walaupun syarat ini tidak tetap, tetapi menurut beliau, kelonggaran ini akan dikaji semula selepas tempoh enam bulan pelaksanaan.
"Setakat ini, syarat itu kita guna untuk pengecualian syarat.. jadi pengecualian syarat ini kita bagi enam bulan terlebih dahulu, jadi kita lihat keberkesanan pengecualian ini... kalau ada keperluan, kita akan kaji balik dasar itu.
"Ini juga selari dengan dasar kerajaan yang sedia ada... kita nak ubah sedikit paradigma (sebab) dulu semua (perlukan) sijil SPM tetapi sekarang kita ke arah Pendidikan TVET.
"TVET ini bermula seawal Tingkatan 2 dan 3 dan mungkin untuk mereka yang berminat dengan TVET, mereka tak akan teruskan dengan sijil SPM. Jadi mereka akan mendapat sijil TVET sahaja... jadi (faktor-faktor seperti ini) kita sedang bincangkan di kalangan Jemaah Menteri," jelasnya.
Dalam pada itu, Loke juga meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengkaji semula semula garis panduan dan peraturan sedia ada melibatkan isu kawalan harga serta kos institut memandu.
"Adalah keutamaan Kementerian Pengangkutan di bawah pimpinan saya untuk mengurangkan karenah birokrasi yang tidak membawa manfaat ketara kepada teras matlamat dasar kita. Apa yang boleh dipermudahkan harus kita cuba laksanakan tanpa menjejaskan integriti.
"Justeru, saya akan minta JPJ untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan sedia ada termasuk syarat penggunaan Kenderaan SKIM.
"Ini termasuk dengan membenarkan penggunaan kenderaan IM bagi tujuan mengambil dan menghantar calon serta pengangkutan dari rumah ke pejabat untuk pengajar IM dengan syarat," katanya.