Tiada kelulusan ke atas penjualan teks Al-Quran rumi - KDN

Dania Zainuddin
Oktober 14, 2015 12:17 MYT
Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) menetapkan teks Al-Quran yang boleh diterima pakai di Malaysia adalah penulisan Uthmani Riwayat Hafs An Asim. - Gambar hiasan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah memberi kelulusan ke atas mana-mana penjualan teks Al-Quran dalam bentuk rumi di negara ini.
Menurut Penolong Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Masykuri Khamid, tindakan akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menjual teks Al-Quran yang tidak mendapat kelulusan KDN.
Masykuri melalui Whatsapp menjelaskan isu penjualan Al-Quran Mumayyaz, atau Alwasim itu tidak dijual secara fizikal di kedai, tetapi dijual atas talian.
Modus operandi pembekal teks Al-Quran Mummayaz di Malaysia ini adalah melalui laman Facebook.
Jelas Masykuri, teks Al-Quran Mumayyaz yang diimport dari Indonesia itu masih belum mendapat kelulusan pihak KDN.
Merujuk kepada keputusan fatwa kebangsaan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada ayat Al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf arab atau bukan tulisan Al-Quran.
Fatwa berhubung penggunaan penulisan rumi dalam A-Quran. - Gambar portal e-fatwa
Berdasarkan akta pencetakan teks Al-Quran 1986 (Akta 326), tidak seorang pun boleh mengimport untuk menjual atau mengedar teks Al-Quran sebelum mendapatkan kelulusan dari Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ).
Mereka yang bersalah boleh berdepan hukuman RM10,000, atau 3 tahun penjara, atau kedua-duanya sekali.
LPPPQ menetapkan teks Al-Quran yang boleh diterima pakai di Malaysia adalah penulisan Uthmani Riwayat Hafs An Asim.
Lembaga itu menekankan, setiap teks Al-Quran perlu disemak oleh Lajnah Penyemakan dan Penilaian teks Al-Quran dan akan dikemukakan untuk kelulusan LPPPQ.
#Al-Quran #KDN #Kementerian Dalam Negeri #LPPPQ #Rumi