Tiada kelewatan penghantaran buku teks KAFA di Pulau Pinang - JHEAIPP
Sinar Harian
Jun 15, 2022 09:44 MYT
Jun 15, 2022 09:44 MYT
GEORGE TOWN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menafikan dakwaan berhubung kelewatan penyerahan buku teks bagi Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) di sekolah rendah agama di negeri ini.
JHEAIPP berkata, proses penghantaran buku teks tersebut berjalan mengikut jadual serta perancangan ditetapkan.
"Pada masa ini, buku-buku teks KAFA tersebut dalam proses penghantaran ke sekolah-sekolah dan ia dijangka selesai sebelum akhir bulan ini.
"Sistem ini memang berjalan seperti dilaksanakan sebelum ini.
"Bagaimanapun, disebabkan tahun ini sesi persekolahan bermula lewat iaitu mulai hujung bulan Mac menyebabkan ibu bapa merasakan sudah hampir setengah tahun sesi sekolah telah bermula dan buku masih belum disediakan sedangkan ia memang mengikut jadual dan perancangan ditetapkan,'' katanya dalam kenyataan di Facebook JHEAIPP, pada Rabu.
Menurut kenyataan itu lagi, bermula Julai ini semua murid akan mula menggunakan buku teks KAFA bagi sesi pembelajaran seterusnya.
''Sesi persekolahan KAFA Pulau Pinang bermula 27 Mac 2022 dan untuk tiga bulan pertama persekolahan (27 Mac hingga 27 Jun) setiap pelajar telah dibekalkan dengan buku modul SALAM.
''Buku modul SALAM ini merupakan kandungan pelajaran asas kepada setiap murid mengikut tahun persekolahan masing-masing,'' menurut kenyataan itu.
Kata JHEAIPP, setiap pelajar akan menggunakan buku modul SALAM yang telah dibekalkan tersebut sebagai bahan pembelajaran sehingga akhir bulan ini.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai rungutan ibu bapa yang mendakwa anak-anak mereka yang bersekolah di sekolah rendah agama di Pulau Pinang masih belum menerima buku teks KAFA.
Mereka mendakwa, buku teks tidak dibekalkan walaupun sesi persekolahan telah bermula sejak tiga bulan lalu.
Kebanyakan ibu bapa menyatakan kekesalan dan kekecewaan mereka di dalam Facebook selain meminta pihak bertanggungjawab menjawab persoalan mereka tersebut.
*Berita asal disiarkan di Sinar Harian