Tiada kekasaran, pemeriksaan di klinik Dr Hamid Arshat patuhi prosedur - KKM
Sinar Harian
Oktober 3, 2019 07:27 MYT
Oktober 3, 2019 07:27 MYT
Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan berlaku sebarang kucar-kacir atau kekasaran ketika menjalankan pemeriksaan di DHA Healthcare Enterprise di Bukit Damansara, Kuala Lumpur semalam.
Sebaliknya pemeriksaan oleh anggota Cawangan Penguatkuasa Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya itu mematuhi prosedur ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh berkata tindakan itu dibuat berdasarkan aduan awam yang diterima mengatakan premis kesihatan tersebut disyaki memiliki produk kesihatan yang tidak berdaftar.
"Sebelum pemeriksaan dijalankan, siasatan awal mendapati premis tersebut telah disahkan memiliki dan menjual produk sasaran berdasarkan belian percubaan berserta resit bayaran.
"Meskipun produk tersebut didapati tiada lagi di premis ketika pemeriksaan dijalankan, bahan iklan berbentuk risalah produk tidak berdaftar itu telah ditemui di premis terbabit," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, premis yang dimiliki pakar sakit puan itu juga tidak pernah memiliki lesen dengan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) KKM sejak ia ditubuhkan.
Katanya, meskipun banyak perbincangan dan usaha dilakukan oleh CKAPS untuk memudahcara pelesenan premis itu, namun pemilik masih tidak dapat memenuhi syor yang diberi supaya ia dapat dilesenkan sebagai fasiliti kesihatan swasta berlesen yang sah.
"Oleh itu, pada 26 Februari 2016, CKAPS telah mengeluarkan satu surat arahan supaya premis ini menghentikan operasi perkhidmatan kesihatan," katanya.
Terdahulu, pakar sakit puan dan perbidanan terkenal, Datuk Dr Hamid Arshat dilaporkan kesal apabila pejabatnya yang terletak di Plaza Damansara diserbu sekumpulan kakitangan KKM semalam.
Menurutnya, beliau terkejut dengan kedatangan kakitangan KKM yang tidak membawa notis serbuan dan tanpa menjelaskan tujuan serbuan itu dilakukan.
#Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta
#CKAPS
#DHA Healthcare Enterprise
#Hamid Arshat
#Kementerian Kesihatan
#KKM
#Param Jeeth Singh Pakar Singh
#serbuan