Tiada kejutan dijangka pada pemilihan semula DAP

Teoh El Sen
September 29, 2013 09:20 MYT
Para perwakilan DAP akan mengadakan Kongres Khas hari ini untuk memilih semula 20 anggota ke dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.
Pemilihan semula parti itu yang sebelum ini diadakan pada awal 2012, diadakan semula berikutan ‘perang’ hampir setahun antara parti itu dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) di mana berlakunya kemungkinan parti berusia 48 tahun itu diharamkan.
Seramai 2,576 perwakilan dari 985 cawangan dijangka akan memilih 20 anggota CEC di Hotel One World, Petaling Jaya pagi ini.
Walaubagaimanapun, sumber dalaman parti itu memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa pemilihan dijangka berjalan lancar tanpa sebarang kejutan, ini kerana dijangka majoriti anggota CEC sedia ada akan terus mengekalkan jawatan mereka.
Selepas 20 anggota CEC dipilih, mereka seterusnya akan melantik 10 anggota CEC tambahan, serta memenuhi jawatan-jawatan dalam parti.
Jawatan-jawatan ini juga dijangka diisi dengan muka-muka yang sama.
"Saya tidak menjangkakan banyak perubahan kerana pemilihan ini hanya satu usaha untuk mengelak daripada DAP diharamkan, " kata sumber dalaman parti.
Walau bagaimanapun, sumber itu menjangkakan bilangan undi pemimpin-pemimpin tertentu akan berubah.
"Mungkin akan ada beberapa perubahan dalam pola pengundian . Sebagai contoh, kini terdapat lebih ramai pemimpin dari Johor, jadi mungkin kita akan melihat seseorang dari negeri ini disingkirkan dari CEC, "kata beliau.
Semalam, Pegawai Pengurus Pemilihan Semula CEC 2013, Ong Kian Ming, berkata bahawa senarai calon-calon adalah sama seperti di Kongres Nasional tahun lalu di Pulau Pinang yang berlangsung pada bulan Disember 2012.
"Dalam pemilihan CEC tahun lepas, individu-individu berikut menarik diri sebagai calon : Choong Siew Onn , Er Teck Hwa, Jaya Balan A / L Valliappan , Teo Kok Seong dan Yong Wui Wui (Violet) ," katanya dalam satu kenyataan.
Ong berkata parti itu juga telah menerima notis daripada 12 individu bahawa mereka telah menarik diri sebagai calon. Mereka ialah: Ganabatirau A / L Veraman , Jagdeep Singh Deo, Kamache A / P Doray Rajoo , Khoo Poay Tiong, Manogaran A / L Marimuthu , Ng Chin Tsai , Ng Wei Aik, Sanisvara Nethaji Rayer A / L Rajaji , Siow Kim Leong, Soh Boon Hong, Tan Lee Koon dan Roseli bin Abdul Gani .
Ini bermaksud seramai 17 orang menarik diri dan dua perletakan jawatan, iaitu Hiew King Cheu dari Sabah pada hari Jumaat, dan bekas Ahli Parlimen Seremban John Fernandez , yang meletak jawatan daripada parti pada bulan April 2013.
Sementara itu, sumber dalaman parti itu berkata penarikan diri individu tersebut tidak memberi makna, dan ia cuma dilakukan untuk memudahkan pemilihan semula CEC.
"Saya rasa ada yang menarik diri kerana mereka tahu mereka tidak boleh menang. Terdapat mereka yang telah menjadi wakil rakyat atau mempunyai jawatan di peringkat negeri dan menurut nasihat daripada pemimpin pusat untuk mengundurkan diri, " kata sumber itu.
Mengenai dua ahli CEC Melayu, termasuk Zairil Khir Johari dan Senator Dr Ariffin SM Omar , sumber itu berkata, perwakilan akan memastikan mereka menganggotai CEC.
"Saya rasa ramai yang mahu mereka di dalam CEC, selaras juga dengan imej berbilang kaum kita. Jika tidak, kita akan memberikan lebih banyak peluru kepada Utusan."
Pada masa ini, DAP mempunyai sembilan ahli CEC bukan dari mereka yang berketurunan Cina.
Persoalan mengenai status DAP berlarutan hampir setahun.
Ia berlaku selepas Lim Guan Eng memaklumkan pada 4 Januari bahawa audit dalaman menunjukkan wujud kesilapan dalam pengiraan undi daripada pemilihan 15 Disember, 2012.
Kesilapan kiraan dilihat berpunca daripada "masalah teknikal", yang menyebabkan Zairil Khir Johari disenaraikan menganggotai CEC meskipun keputusan pemilihan menunjukkan sebaliknya.
Berikutan aduan oleh beberapa ahli, ROS memulakan siasatan atas tuduhan berlaku penyelewengan.
Pada PRU-13 yang lalu terdapat kebimbangan bahawa parti itu tidak akan dapat menggunakan logonya. Walaubagaimanapun, perkara itu tidak berlaku dan DAP akhirnya menggunakan logo roket miliknya juga.
Pada 30 Julai, ROS telah mengarahkan DAP untuk mengadakan pemilihan baru berdasarkan dakwaan penyelewengan pemilihan parti. ROS berkata ia mendapati penjelasan DAP mengenai kesilapan pemilihan CEC tidak memuaskan.
DAP pada 15 Ogos lalu telah memutuskan untuk mengadakan pemilihan semula hari ini bagi mengelak parti itu daripada diharamkan.
#CEC #DAP #Jabatan Pendaftar Pertubuhan #kongres khas #pemilihan #ros
;