Tiada kedua belah mata, Adib tanya bila hari hendak siang - Jaswan

Wan Syamsul Amly
April 21, 2015 13:06 MYT
JASWAN: Tiada kedua belah mata, Adib tanya bila hari hendak siang - Gambar fail
Kanak-kanak pengidap barah mata, Muhammad Adib Azim Jaswan, 4, yang dibuang mata kanan pada 2013 kini terpaksa dibuang mata kiri demi menyelamatkannya dari terus menderita akibat barah.
Bapanya, Jaswan Mulop berkata, Adib menjalani pembedahan membuang mata kiri, iaitu mata terakhirnya dalam pembedahan pada Isnin yang bermula pada pukul 2.30 sehingga 6.30 petang.
"Selepas keluar dari bilik bedah Adib demam sehingga 38 darjah selsius dan doktor masih pantau keadaannya sehingga hari ini.
"Dia sudah mula sedar, dia sudah mula tanya bila hari hendak siang sebab sebelum ini memang dia menunggu hari siang kerana nampak cahaya.
"Mata Adib sudah dihantar ke makmal dan keputusannya akan keluar dalam masa seminggu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Keadaan terkini Adib selepas mata kirinya dibuang pada Isnin - Sumber gambar Jaswan
Adib disahkan mengalami kanser mata pada 2013 selepas terlanggar kerusi dan jatuh di kedai makan ketika bersarapan.
Jaswan pada masa itu merujuk Adib di klinik berhampiran dan diminta ke Hospital Putrajaya untuk rawatan susulan sebelum disahkan mengalami kanser mata.
Sebelum ini, Pakar Optalmologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Jamalia Rahmat berkata, segala keperluan bagi merawat situasi barah seperti Adib kini sudah ditawarkan dalam negara.
Jaswan juga pernah menyuarakan kebimbangan, bukan sahaja mengenai keadaan kesihatan anaknya malah tentang kos tinggi yang ditanggung untuk sesi rawatan dan perubatan. Jaswan merupakan seorang kakitangan kerajaan manakala isterinya pula surirumah sepenuh masa.
Rawatan khas seperti yang dirancang untuk dijalankan ke atas Adib sebelum ini tidak dimiliki oleh negara dan lazimnya pesakit perlu ke Amerika Syarikat (AS) untuk tujuan perubatan.
Pada Disember lepas, Adib memulakan prosedur memasukkan tiub yang membawa bersama ubat kimoterapi dari paha melalui jantung hingga ke mata pada Jumaat.
Bagaimanapun prosedur itu sebenarnya bukan kali pertama diadakan malah susulan kegagalan daripada yang pertama kali dibuat sebelum itu.
Mata kanan Adib terpaksa dibuang Disember tahun lalu, kini mata kirinya juga sudah dibuang - Sumber gambar Jaswan
Dalam pada itu kata Jaswan, jika terdapat saki baki kanser, Adib perlu menjalani kimoterapi dan radioterapi.
"Jika tidak ada apa-apa, cukup dengan rawatan susulan setiap tiga bulan. Kini usaha diberi untuk menaikkan kembali semangat Adib dan memberi aktiviti yang sesuai dengan keadaannya kini.
"Sekarang kedua-dua mata Adib sudah tidak ada, ibunya menangis sejak Subuh kerana terkenang masa mereka bermain bersama.
"Kini Adib tidak dapat pandang wajah ibu dan ayahnya lagi, doktor juga sebak apabila melihat ibunya menangis sepenuh hati tanpa segan silu sebelum pembedahan itu," jelasnya lagi.
#Adib #AS #darah #HKL #jantung #jaswan #kanser #laser #MATA
;