Tiada kecederaan akibat keruntuhan kecil siling Skybridge KLIA2 - MAHB
Nickyson Nyambar
Oktober 24, 2023 21:16 MYT
Oktober 24, 2023 21:16 MYT
KUALA LUMPUR : Tiada kecederaan dilaporkan akibat keruntuhan kecil yang berlaku di Balai Berlepas 'Skybridge' Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada Selasa.
Perkara itu disahkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menerusi perkongsian di laman sosial X petang tadi.
Menurut MAHB, insiden itu berlaku akibat cuaca buruk.
"Sila elak kawasan yang ditutup untuk keselamatan anda. Jika anda memerlukan bantuan, sila hubungi Duta Airport CARE kami," kata MAHB dalam perkongsian itu.
Kerja-kerja memperbaiki kerosakan sedang dijalankan dan kawasan tersebut ditutup hingga kerja-kerja membaiki serta pemeriksaan keselamatan selesai, tambah MAHB.