Tiada kebebasan mutlak, wartawan, organisasi media harus terus tingkat kualiti
Bernama
Mei 25, 2022 20:26 MYT
Mei 25, 2022 20:26 MYT
KUALA LUMPUR: Walaupun tidak wujud kebebasan mutlak dalam industri media, wartawan dan organisasi media harus terus meningkatkan kualiti pelaporan berita mereka, kata bekas ketua pegawai eksekutif dan ketua pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Yong Soo Heong.
Beliau berkata pengamal media mestilah sentiasa melakukan yang terbaik untuk mengetengahkan isu-isu tertentu menerusi laporan yang lengkap dan terperinci dengan mengkaji dan menilai sesuatu isu itu dengan lebih mendalam.
"Pada saya tiada kebebasan media mutlak tetapi sebagai wartawan atau organisasi media, kita harus sentiasa mencuba untuk menambah baik (pelaporan berita).
"... dan jika ada isu-isu yang perlu diketengahkan, buatlah yang terbaik untuk mengetengahkan isu-isu itu supaya kita boleh memberi laporan yang seimbang," katanya ketika menjadi tetamu program The Nation di Bernama TV hari ini.
Sementara itu, Yong berkata sudah tiba masanya untuk menjenamakan semula kewartawanan watchdog kerana media memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan pegawai kerajaan dan swasta melaksanakan tanggungjawab mereka.
"Sebagai pengamal media, kita mestilah sangat berwaspada terhadap maklumat, hasilkan naratif yang sangat baik.. jadilah lebih telus supaya dapat berkhidmat dengan baik kepada masyarakat," katanya.
Sementara itu, seorang lagi panel Dr Dr Murallitharan Munisamy yang juga seorang penulis berkata peningkatan sumber berita alternatif telah membawa perubahan positif.
Bagaimanapun, ia juga memberi peluang kepada individu atau syarikat dengan agenda tertentu untuk menghasilkan naratif dan versi mereka sendiri.
"Contoh yang jelas ialah perspektif perubatan dan COVID-19. Saya berpendapat jika kita masih seperti dalam era kewartawanan tradisional atau 90an, tiada banyak masalah dalam aspek penyampaian maklumat pandemik," katanya.
Katanya penyampaian naratif yang salah mengenai COVID-19 telah mengakibatkan banyak kemudaratan.
-- BERNAMA