Tiada kanak-kanak ketinggalan: Pembelajaran dalam talian selari kurikulum lengkap, bengkel komuniti untuk murid B40

Kenyataan Media
Februari 15, 2022 11:46 MYT
Bahan-bahan pelajaran merangkumi kurikulum Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Matematik dan Sains dari Tahun 1 sehingga Tingkatan 5.
KUALA LUMPUR: Yayasan CIMB telah menyertai Yayasan Teach For Malaysia (TFM) dan Yayasan YTL untuk melancarkan Fasa ke-2 Learn From Home Frog School Lessons.
Menawarkan pembelajaran atas talian, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha pemulihan pendidikan oleh TFM dan Yayasan YTL yang berfokuskan pembangunan pemimpin di dalam kelas dan penghasilan bahan pembelajaran, serta menjalankan bengkel-bengkel komuniti untuk menyokong murid-murid dan ibu bapa komuniti B40 menjelang tahun akademik 2022-2023.
Yayasan Teach For Malaysia, dengan sokongan Yayasan CIMB, telah menyumbang kepada pembangunan kandungan pelajaran atas talian bagi inisiatif Learn From Home. Kandungan pembelajaran tersebut dihasilkan dalam platform pembelajaran FrogAsia dan boleh didapati di laman web Yayasan YTL dan FrogPlay Mobile App.
Sejak pelancarannya, kandungan pembelajaran tersebut telah diakses lebih daripada 1 juta kali.
Bahan-bahan belajar tersebut merangkumkan kurikulum Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Matematik, dan Sains dari peringkat Darjah 1 sehinggalah Tingkatan 5.
Sebanyak 1,000 bahan pembelajaran tambahan untuk menyokong baki subjek teras dalam kurikulum akan ditambah dalam platform tersebut pada tahun ini bagi membantu murid-murid untuk mengejar pembelajaran mereka secara kendiri.
Chan Soon Seng, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Teach For Malaysia berkata, pembelajaran jarak jauh sepanjang dua tahun yang lalu adalah mencabar.
Murid-murid daripada komuniti yang tidak mempunyai akses yang sama dengan bahan pembelajaran terus ketinggalan.
"Sebagai langkah untuk mara ke hadapan, kita perlu terus menyediakan akses kepada bahan pembelajaran berkualiti tinggi kepada murid-murid ini.
"Kita juga perlu melabur dalam pembangunan kepimpinan komuniti setempat untuk membolehkan komuniti mereka sendiri untuk mampu menyokong pemulihan pendidikan murid-murid secara mapan," katanya.
Yayasan Teach For Malaysia dan Yayasan CIMB fokus untuk membina kepemimpinan kukuh di dalam kelas melalui Felo TFM dan juga kapasiti pemimpin komuniti menerusi bengkel-bengkel bersama murid dan ibu bapa di komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR). Sasarannya adalah untuk mencapai sekurang-kurangnya 6 komuniti PPR, 60 guru, dan 9,600 murid pada tahun 2023.
Rafe Haneef, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB berkata, "Mengadaptasi pembelajaran dalam talian terus menjadi keperluan sepanjang berlangsungnya pandemik yang menyebabkan gangguan kepada sistem pendidikan di seluruh Malaysia. Maka, adalah penting untuk bahan-bahan pembelajaran tersedia bagi menyokong kelangsungan pendidikan bagi murid-murid dengan menyediakan pelbagai bentuk penyampaian yang sejajar dengan konteks perumahan dan persekitaran mereka.
"Pendidikan adalah salah satu cabang impak Yayasan CIMB, dan program ini merupakan sebahagian daripada komitmen kami untuk berhubung dengan pelbagai komuniti untuk menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti. Kami berharap untuk membina sistem pembelajaran yang kukuh di mana murid-murid yang memerlukan sokongan tambahan dapat mengakses sumber pembelajaran berkualiti tinggi yang selaras dengan kurikulum pada bila-bila masa. Inisiatif-inisiatif seperti bengkel Program Komuniti Perkasa PPR menyasarkan untuk meningkatkan motivasi murid dan menggalakkan pembelajaran interaktif di luar bilik darjah. Kami juga menggalakkan penglibatan aktif ibu bapa kerana mereka memainkan peranan penting dalam pendidikan dan pembangunan anak-anak mereka.
"Bersama-sama dengan Yayasan Teach For Malaysia dan Yayasan YTL, kami akan terus menghulurkan sokongan untuk memacu program ini dan memastikan kejayaan akademik anak-anak tidak terhalang oleh latar belakang sosio-ekonomi mereka."
Yayasan YTL juga bekerjasama dengan tutor-tutor sukarelawan untuk membantu murid-murid di komuniti PPR lain yang ketinggalan dalam pembelajaran akibat pandemik dengan menggunakan bahan-bahan pembelajaran di platform tersebut.
Datuk Kathleen Chew Wai Lin, Pengarah Program Yayasan YTL berkata, "Dua tahun yang berlalu merupakan masa yang sukar bagi murid-murid yang tinggal di komuniti-komuniti ini untuk menjalani pembelajaran dari rumah. Di bawah inisiatif Learn From Home kami telah memberikan data dan telefon pintar kepada lebih 100,000 murid golongan keluarga B40, tetapi ramai yang masih ketinggalan kerana tiada peranti dan bahan-bahan untuk belajar.
"Melalui kerjasama dengan organisasi-organisasi yang mempunyai wawasan yang sama seperti Yayasan CIMB dan TFM, kami berharap agar dapat memperkasakan lebih banyak komuniti untuk membantu mereka menebus semula pembelajaran yang tercicir bukan sahaja dalam subjek-subjek teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains tetapi juga dalam subjek-subjek lain yang terdapat dalam kurikulum tambahan dengan 1,000 bahan pembelajaran yang akan dimasukkan pada tahun ini."
Bahan-bahan pembelajaran ini termasuk dengan 13,000 soalan kuiz yang boleh diakses di laman web Yayasan YTL dan aplikasi FrogPlay Mobile App secara percuma. Apa yang diperlukan hanyalah capaian internet, telefon pintar atau apa-apa jenis peranti.
Yayasan CIMB dan Yayasan YTL turut menyokong kohort ke-10 Felo Yayasan Teach For Malaysia, yang akan ditempatkan di sekolah-sekolah rendah buat kali pertama. Felo-felo ini bakal menyokong murid-murid dalam pembelajaran mereka yang sudah terjejas akibat pandemik.
#Yayasan CIMB #Teach for Malaysia #pembelajaran dalam talian #murid B40
;