'Tiada kaitan antara pembunuhan Hussain Najadi dengan siasatan kes 1MDB' - KPN

Hamzah Hamid
Julai 8, 2015 12:58 MYT
KHALID: Perbuatan menyebarkan berita tersebut suatu yang tidak bertanggungjawab.
Pembunuhan pengasas Kumpulan Arab Malaysian Banking (Ambank) Hussain Ahmad Najadi tiada kena-mengena dengan siasatan yang dilakukan ke atas syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata demikian hari ini selepas diajukan soalan mengenai laporan portal Sarawak Report yang mengaitkan kes pembunuhan itu dengan suatu transaksi akaun bank bersifat rasuah.
“Ini suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Mereka sengaja ingin menyebarkan berita yang tidak betul dan menyebarkan fitnah. Kami sedang menyiasat perkara ini.
“Tidak ada kaitan antara kes pembunuhan Hussain Najadi dengan siasatan kes 1MDB. Tidak ada sama sekali,” tegas Khalid.
Tambah beliau, umum sudah tahu sebab pembunuhan tersebut berlaku dan pembunuhnya pun telah dihukum.
“Saya ingin mengesahkan di sini bahawa tidak ada laporan polis yang kononnya dibuat oleh Hussain sebelum dia dibunuh, berkenaan kemasukan sejumlah wang ke dalam bank.
“Kita sedang menyiasat akan punca ini dan akan mengambil tindakan ke atas sesiapa juga yang cuba menyebarkan berita palsu,” ujar Khalid yang turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati meninggalkan komen berikutan keghairahan membincangkan sesuatu topik panas.
BACA: 'Tiada sebab untuk saya menangkap Tun Mahathir' - KPN
BACA: Pengasas Ambank: Saksi nampak Hussain ditembak berkali-kali hingga rebah
Pada September tahun lalu, seorang pemandu Koong Swee Kwan dihukum mati atas kesalahan membunuh Hussain.
Tiga bulan sebelum itu, seorang pemandu teksi telah dihukum penjara selama 14 tahun dan enam kali sebatan kerana memiliki pistol yang digunakan untuk menembak Hussain dan isterinya.
#1MDB #ambank #Hussain Ahmad Najadi #Khalid Abu Bakar #Sarawak Report
;