Tiada kad pengenalan, hasrat pelajar sambung pengajian di luar negara terbantut
Bernama
April 27, 2017 08:47 MYT
April 27, 2017 08:47 MYT
Riana Mae Christopher Bakar, 19, pelajar dari Sarawak bercita-cita ingin melanjutkan pelajarannya ke luar negara dan mencapai impian menjadi seorang peguam.
Namun, cita-citanya itu terbantut apabila tidak mempunyai kad pengenalan walaupun lahir di Malaysia dan bapanya merupakan warganegara tempatan.
"Sejak berumur 12 tahun, sudah tiga kali saya membuat permohonan untuk mendapatkan kad pengenalan namun masih gagal...saya tidak tahu nak selesaikan macam mana lagi sekarang," katanya ketika meluahkan kekecewaannya berhubung masalah itu kepada pemberita di sini, pada Rabu.
Riana berkata dia difahamkan permohonannya ditolak berikutan surat beranaknya tertera perkata ''Bukan Warganegara''.
Selain kegagalan ibu bapanya mendaftarkan perkahwinan mereka sebelum Riana lahir, perkataan ''Bukan Warganegara'' ditulis pada sijil kelahirannya kerana ibunya mempunyai kewarganegaraan Filipina.
Riana merupakan antara ribuan remaja dan kanak-kanak yang terus kekal kategori ''stateless'' atau tanpa negara milik sendiri sekali gus menyebabkan hak seperti akses pendidikan peringkat tinggi dan perkhidmatan kesihatan dinafikan.
Ini menyebabkan masa depan mereka terumbang-ambing walaupun ada di antara mereka dilahirkan di negara ini dan seorang daripada ibu atau bapa mereka adalah warga tempatan.
Mengulas perkara itu, Presiden Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia Dr Noorazman Mohd Samsuddin menggesa pihak berwajib melaksanakan keadah baharu bagi mengatasi masalah itu terutama melibatkan generasi muda dalam kalangan rakyat sendiri.
"Perkara ini perlu ditangani segera agar ia tidak berterusan hingga ke generasi seterusnya. Tidak adil menghukum anak-anak ini hanya kerana kesilapan atau kecuaian ibu bapa mereka," katanya.
Dr Noorazman mencadangkan agar kajian mendalam dilakukan pihak penyelidik dalam mencari jalan penyelesaian agar mereka yang terjejas tidak terus ditindas seterusnya menyekat potensi diri golongan itu.
Jelasnya situasi kini dikhuatiri memberi tekanan dan secara tidak langsung menyebabkan mereka terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat dan berunsur jenayah.
Turut bersependapat, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Nadzim Johan yang berharap pihak berwajib mengkaji semula undang-undang sedia ada dalam mengurangkan kerenah birokrasi.
"NGO (badan bukan kerajaan) bersedia dalam membantu menangani isu yang dilihat semakin kronik ini dalam mengatasi kekangan dihadapi pihak berwajib," katanya.
-- BERNAMA