Tiada jemaah hadir Solat Jumaat, hanya laungan Azan
Hilmi Malik
Mac 20, 2020 14:36 MYT
Mac 20, 2020 14:36 MYT
Tinjauan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari ketiga mendapati tiada ibadah Solat Jumaat dilakukan termasuk pergerakan keluar masuk jemaah ke dalam masjid.
Imam 1 Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Ustaz Abas Mohamad Yusof berkata, kesemua pintu pagar ditutup dan telah ditempatkan beberapa pengawal masjid di setiap pintu utama.
"Buat masa ini kita sudah tutup semua pintu pagar masjid dan tiada sebarang aktiviti dijalankan dan sebarang aktiviti masjid hanya dilakukan menerusi siaran langsung Facebook masjid sahaja," katanya ketika ditemui di Dewan Solat Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong pada Jumaat.
Pada kebiasaannya program tazkirah akan berlangsung sebelum Solat Jumaat diteruskan dan hasil pemerhatian juga menyaksikan perkarangan masjid lengang tanpa kehadiran jemaah dan tindakan ini jelas menyaksikan kesedaran masyarakat berhubung implikasi wabak COVID-19 yang menular.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac ini di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19, solat Jumaat tidak diadakan hari ini.
#coronavirus
#COVID19
#koronavirus
#Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong
#Perdana Menteri
#perintah kawalan pergerakan
#Solat Jumaat