Tiada jaminan isteri Daim tidak lari jika pasport dikembalikan - Pendakwa

Sinar Harian
Mac 13, 2024 14:20 MYT
Na'imah pada 16 Februari lalu memfailkan permohonan, dengan mendakwa alasan yang kukuh harus diberikan oleh barisan Timbalan Pendakwa Raya untuk menahan pasportnya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, tiada jaminan isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Na'imah Abdul Khalid akan kekal berada di negara ini, jika pasport antarabangsanya dikembalikan secara tetap.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin berkata demikian ketika prosiding pendengaran di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache, berhubung permohonan Na'imah untuk menyemak perintah Mahkamah Sesyen di sini, berhubung syarat tambahan serahan pasport bagi kes gagal mengisytiharkan harta.
Menurutnya, pembelaan bagi pihak Na'mah tidak boleh menggunakan hujahan bahawa, anak guam mereka tiada risiko untuk melarikan diri.
"Sila nyatakan jaminan tertuduh tidak akan melarikan diri, kami sendiri tidak boIeh beri jaminan, (namun) saya juga tak berani nak kata wujud risiko untuknya melarikan diri.
"Jadi kita perlukan pasport untuk perjalanan prosiding selain syarat tambahan iaitu penyerahan pasport tidak bersifat kejam,” katanya.
Beliau berkata, syarat tuntutan cagaran itu bukan bertindak untuk menyekat hak kebebasan Na’imah kerana permohonan untuk mendapatkan semula dokumen perjalanan tersebut secara sementara, boleh dibuat kepada mahkamah pada bila-bila masa.
Sementara itu, peguam, M Puravalen yang mewakili Na'imah berkata, pendakwaan tidak boleh menggunakan hujahan bahawa anak guamnya cenderung untuk melarikan diri atau tidak hadir prosiding mahkamah.
"Mereka tidak mengemukakan alasan yang spesifik atau kukuh ketika memohon pasport beliau ditahan.
"Oleh itu, perintah Mahkamah Sesyen berhubung penahanan pasport adalah salah di sisi undang-undang dan menyebabkan perlanggaran prinsip keadilan yang serius maka ia wajar disemak," katanya.
Pada 16 Februari lalu, Na’imah memfailkan permohonan, dengan mendakwa alasan yang kukuh harus diberikan oleh barisan Timbalan Pendakwa Raya, untuk menahan pasportnya selain mendakwa tindakan tidak wajar, kerana rutin bagi pihak pendakwaan.
Pada 23 Januari, wanita itu didakwa di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan, gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan 12 aset harta antaranya di ibu negara dan Pulau Pinang, Disember tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Na'imah didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta-harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.
Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua Mercedes Benz, selain lapan hartanah membabitkan Menara Ilham dan sebuah kediaman di Bukit Tunku, di sini serta enam lagi bangunan dan lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, di sini; Jalan Cantoment Road, Penang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail, di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Mahkamah Sesyen membenarkan Na’imah diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin, termasuk syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai tanpa perlu melaporkan diri di pejabat SPRM.
Pada 10 Januari lalu, Daim memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini, untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dan mengarahkan SPRM menghentikan penyiasatan terhadapnya, isteri serta empat anak termasuk Ilham Tower Sdn Bhd mengaitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Selain Daim, isterinya, Nai’mah dan empat anak, Asnida, 63, Md Wira Dani, 46, Muhammed Amir Zainuddin, 29, Muhammed Amin Zainuddin, 26, serta lham Tower selaku pemohon pertama hingga ketujuh turut memfailkan permohonan sama menerusi Tetuan Tommy Thomas.
Pada 29 Januari pula, Daim yang berusia 86 tahun turut didakwa atas pertuduhan sama membabitkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah. - Sinar Harian
#Daim Zainuddin #isteri daim #Na'imah Abdul Khalid #kes mahkamah
;