Tiada jaminan harga barang turun ikut harga minyak

Firdaus Azil
Januari 5, 2019 18:24 MYT
Penurunan harga minyak juga tidak dapat beri kesan yang besar dalam masa yang singkat kepada sektor logistik serta rangkaian pembekalan. - Gambar hiasan
Tidak ada jaminan harga barang atau perkhidmatan akan menurun, seiring dengan penurunan harga produk petroleum di negara ini, kata Presiden Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) International Datuk Ts Abdul Radzak Abdul Malek.
Mengambil sektor pengangkutan domestik sebagai contoh, beliau berkata, ada faktor-faktor lain yang perlu diambil kira sebelum dapat mengurangkan harga produk atau pekhidmatan masing-masing.
“Tetapi kos yang teras kita dapat turunkan 15 hingga 20 peratus. Cuma operator bas ini tunjuk sikap lebih telus dan boleh turunkan harga itu. Tetapi pada masa sama saya juga tidak dapat membayangkan keadaan penurunan itu sebab setiap kali kita dengar di televisyen.
“Banyak operator bas mengeluh tidak cukup hasil tak lumayanlah pendapatan sentiasa terpaksa membayar atau mengeluarkan kos lebih kerana keperluan mendesak seperti keselamatan dan keselesaan penumpang,” katanya lagi.
Pada Jumaat, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan, harga minyak di pam ditetapkan pada RM1.93 seliter bagi RON95 berbanding RM2.20 kini, manakala RON97 diturunkan kepada RM2.23 seliter berbanding RM2.50 kini
Harga diesel turut mencatatkan penurunan kepada RM2.04 seliter berbanding RM2.18 sebelum ini.
Ini menunjukkan penurunan pada kadar 12 peratus masing-masing untuk RON95 dan RON97, dan enam peratus untuk diesel.
BACA: Harga RON95, RON97 turun 27 sen mulai esok
BACA: Penetapan harga minyak ikut formula 'menang-menang' - Guan Eng
Mengulas lanjut, Ts Abdul Razak berkata, penurunan harga minyak juga tidak dapat beri kesan yang besar dalam masa yang singkat kepada sektor logistik serta rangkaian pembekalan, terutamanya yang melibatkan bidang import dan eksport.
“Penurunan harga minyak itu serta kesan positif terhadap kesan pengangkutan tertakluk pada kegiatan pengangkutan dan logistik dalam negara sahaja. Dia tidak melibatkan apabila kita melibatkan kos pengangkutan logistik ke luar negara.
“Kena tengok peratusnya berapa sebab sebagai sebuah negara eksport, kita sangat bergantung kepada penghantaran barang dan juga kita terpaksa membayar kos logistik kepada pengamal dan operator logistik di luar negara, dan setiap negara ada dasar dan kos tambahan yang dikenakan terhadap mereka,” jelasnya lagi.
Ditanya mengenai peratus penurunan yang ideal bagi memboleh 'kesan domino' dapat dirasai, Ts Abdul Razak, kadar penurunan seharusnya di antara 15 hingga 20 peratus.
#diesel #harga minyak #Kementerian Kewangan #Lim Guan Eng #logistik #pembekalan #pengangkutan #RON95 #RON97 #Ts Abdul Radzak Abdul Malek
;