Tiada jaminan ahli UMNO tidak lompat parti - Bung Mokhtar
Firdaus Alauddin
Disember 19, 2018 17:51 MYT
Disember 19, 2018 17:51 MYT
"Tidak ada jaminan mana-mana ahli UMNO untuk tidak lompat parti selepas peralihan tugas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Datuk Seri Mohamad Hasan."
Itu respon Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai mengulas keputusan Presiden UMNO itu yang menyerahkan tugas memimpin parti Melayu itu kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, tindakan melompat parti bukan perkara baharu dalam landskap politik Malaysia.
“Tetapi ia (lompat parti) telah berlaku sejak dahulu lagi. Mana-mana ahli yang ingin melompat parti memberikan alasan demi masa depan rakyat mahupun kawasannya, namun ini tidak benar,’’ katanya kepada Astro Awani ketika dihubungi.
Dalam masa sama, Bung Moktar menyifatkan Ahmad Zahid sebagai pemimpin yang berjiwa besar berikutan keputusannya memberi tanggungjawab memimpin UMNO kepada Mohammad atau lebih mesra disapa Tok Mat.
“Zahid menyerahkan tugasnya kepada Tok Mat demi kelangsungan parti UMNO. Ini merupakan satu pengorbanan yang besar.
"Bagi saya apa yang penting perjuangan UMNO itu sendiri," kata beliau lagi.
Pada Selasa, Ahmad Zahid berkata, bagi menyelesaikan polemik dalam UMNO, beliau mengambil keputusan memberi kepercayaan kepada timbalannya untuk menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.
Menerusi satu kenyataan yang diedarkan, Ahmad Zahid berkata, tindakan itu diambil selaras harapan ahli parti yang mahu pimpinan menterjemah hala tuju sesuai dengan slogan baharu "UMNO bangkit'.