Tiada isu pemandu bas kejar 'trip' - Pengguna

Hilal Azmi
Disember 27, 2016 15:08 MYT
Isu pemandu bas yang mengejar 'trip' perjalanan tidaklah menjadi isu yang menjadi penyebab utama kepada kemalangan bas ekspres. - Gambar fail
Isu pemandu bas yang mengejar 'trip' perjalanan tidaklah menjadi isu yang menjadi penyebab utama kepada kemalangan yang membabitkan bas ekspres.
Tinjauan Astro AWANI di Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan mendapati, rata-rata pengguna mahu jaminan keselamatan bagi setiap perjalanan mereka.
"Bas sebenarnya banyak, tetapi bagi syarikat pengusaha bas yang mempunyai reputasi baik, biasanya mereka mengalami masalah kurang pemandu bas.
"Cuma bagi syarikat yang mungkin kurang mendapat sambutan, kebanyakan mereka menggunapakai sistem komisen kepada pemandu bas mereka," kata Syed Husin, pengguna perkhidmatan bas ekspres.
Berbeza dengan Shanta, dia berpendapat cadangan kadar tambang fleksibel oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) semalam amat baik.
"Pengguna tiada pilihan, tetapi jika jaminan keselamatan daripada ancaman kemalangan jalan raya diambil perhatian, saya sanggup bayar lebih.
"Tetapi, harus diingat, pengguna tetap ada pilihan lain seperti perkhidmatan pengangkutan udara yang juga kini semakin murah dan mampu untuk digunakan orang ramai.
"Jika kadar tambang bas lebih mahal berbanding tambang pengangkutan udara, semestinya pengguna akan memilih perkhidmatan yang lebih murah," jelasnya.
Pada Selasa, Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas Se-Malaysia mahu kerajaan mewujudkan 'situasi menang-menang' jika mahu pengusaha mempertimbangan untuk menaikkan gaji pemandu bas.
#Pengguna Bas Ekspres #Shanti #Syed Husin #Terminal Bersepadu Selatan