Tiada istilah 'dwi-standard' dalam arahan kuarantin - PM

Ridauddin Daud
Oktober 6, 2020 18:44 MYT
Muhyiddin berkata, beliau juga pada waktu ini sedang menjalani kuarantin di rumah. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Tiada istilah dwi-standard (double standard) diamalkan dalam arahan kuarantin di rumah seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau juga pada waktu ini sedang menjalani kuarantin di rumah.
“Ini selepas saya mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri menteri yang kemudiannya disahkan positif COVID -19. Ini adalah SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan KKM.
“Sebagai Perdana Menteri, saya tidak terkecuali daripada tertakluk kepada SOP ini dan ini adalah kali kedua saya menjalani kuarantin di rumah selepas COVID-19 melanda negara kita. Saya mesti patuh kepada peraturan.
“Bersama saya yang dikehendaki menjalani kuarantin di rumah ialah tujuh menteri dan enam timbalan menteri. Semua juga tak terkecuali untuk patuhi SOP ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Perutusan Khas Situasi Semasa COVID-19 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi beliau pada Selasa.
BACA: COVID-19: 691 kes baharu dilaporkan, majoriti di Penjara Alor Setar
BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemaskini setiap hari)
Dalam pada itu, Muhyiddin menjangkakan kes COVID-19 akan meningkat dalam waktu terdekat kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan ujian saringan secara lebih agresif termasuk di penjara dan pusat-pusat tahanan.
“Sejak beberapa minggu yang lalu, kes-kes positif dalam kalangan tahanan di penjara menyumbang kepada sebahagian besar peningkatan jumlah pesakit COVID-19 di negara kita.
“Sebagai ketua kerajaan, saya memantau secara dekat perkembangan kes-kes COVID-19. Saya akan membuat keputusan penting untuk membendung virus ini daripada terus menular dalam masyarakat kita.
“Ini termasuklah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (TEMCO) di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah,” ujarnya.
Beliau juga menasihatkan rakyat supaya mengelak penyebaran berita-berita palsu yang boleh menyebabkan masyarakat keliru.
#kuarantin #Double standard #KKM #PM #Perdana Menteri #Muhyiddin #Muhyiddin Yassin #PKP #PKPD #PKPD secara bersasar #SOP #Kementerian Kesihatan #kesihatan #menteri #rumah
;