Tiada helikopter terhempas seperti yang tular di media sosial
Aida Aziz
Disember 5, 2019 22:36 MYT
Disember 5, 2019 22:36 MYT
Tiada helikopter terhempas di kawasan pergunungan berhampiran kampung Orang Asli di Ulu Jelintoh, Gopeng sebagaimana yang tular di media sosial hari ini.
Perkara itu turut mendapat maklum balas dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan Polis Daerah Kampar.
Menurut jurucakap JBPM Perak, pihaknya menerima panggilan terdapat sebuah helikopter yang terhempas di kawasan tersebut kira-kira pukul 10.43 pagi Khamis.
"Setibanya jentera A1-12 Gopeng di lokasi kejadian, Komander Operasi mengambil maklumat dari penduduk kampung yang menyatakan terlihat sebuah helikopter terbakar dan terhempas di kawasan pergunungan.
"Operasi pencarian telah dilakukan oleh pasukan Unit Udara Bomba dengan melakukan pengesanan dari udara dalam lingkungan 5 kilometer dari lokasi pesawat dikatakan terhempas.
"Namun, tidak menjumpai sebarang kesan pesawat terhempas," katanya.
Tambahnya, maklumat yang diperoleh dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kawalan Trafik Udara (CAAM) mengesahkan tiada laporan atau aduan berhubung kehilangan pesawat itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata pihak polis menerima maklumat berhubung dakwaan itu, namun hasil semakan mendapati tiada kejadian seumpama itu berlaku.
"Pihak polis ada menerima maklumat berkaitan perkara ini dari seorang lelaki Orang Asli pada 10.50 pagi di kawasan Kg Ulu Jelintoh, Gopeng.
"Walau bagaimanapun, semakan dan tinjauan yang dibuat melalui pemerhatian di lokasi, serta semakan dengan pihak DCA dan Unit Udara PDRM mendapati tiada kejadian seumpama ini berlaku di lokasi terlibat," katanya lagi.
#CAAM
#Gopeng
#helikopter terhempas
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM Perak
#Kampung Orang Asli
#kawasan pergunungan
#Polis Daerah Kampar
#tular di media sosial
#Ulu Jelintoh
#Unit Udara Bomba