Tiada hasrat gubal Akta Kebencian Agama dan Kaum - Hanipa

Wan Syamsul Amly
November 28, 2019 13:30 MYT
HANIPA: Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan agar cadangan draf-draf RUU yang pernah disediakan oleh MKPN disemak semula. - Gambar fail
Kerajaan tidak berhasrat untuk menggubal Akta Kebencian Agama dan Kaum dan Akta Anti Diskriminasi sebagaimana yang pernah dicadangkan oleh Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) pada tahun 2014.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Januari juga telah memutuskan agar cadangan draf-draf rang undang-undang (RUU) yang pernah disediakan oleh Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) disemak semula.
Jelasnya, hasil semakan dan penelitian turut memutuskan agar beberapa peruntukan yang dicadangkan di bawah Akta Kebencian Agama dan Kaum diperkukuhkan di bawah Kanun Keseksaan.
Kerajaan walau bagaimanapun bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional iaitu suatu suruhanjaya bebas melalui RUU Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional (National Harmony and Reconciliation Commission Bill) dengan membuat beberapa pindaan terhadap draf sedia ada yang telah disediakan oleh Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) pada tahun 2014 dengan mengambil kira kewujudan lain-lain model suruhanjaya serta bidang kuasanya seperti yang terdapat di negara luar,” katanya.
Hanipa menjawab soalan Lim Lip Eng (PH - Kepong) yang mahu tahu bila kerajaan akan menggubal Akta Kebencian Agama dan Kaum, Akta Anti Diskriminasi dan Akta Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian bagi menyekat polemik berkaitan agama dan kaum yang dilihat semakin meruncing di negara ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa akta itu bagi melindungi semua agama di negara ini.
Katanya, dengan adanya akta khusus itu, tindakan boleh di ambil kepada sesiapa saja yang mencaci atau memaki Islam dan semua agama yang ada di negara.
#agama #Akta Kebencian Agama dan Kaum dan Akta Anti Diskriminasi #kerajaan #majlis konsultasi perpaduan negara #MKPN #Mohamed Hanipa Maidin #perpaduan #Rang Undang-Undang #RUU
;