Tiada harga siling untuk ikan kembung - Menteri
Bernama
Mac 14, 2017 16:51 MYT
Mac 14, 2017 16:51 MYT
Kerajaan tidak berhasrat untuk menetapkan harga siling ikan kembung dan 'ikan rakyat' yang lain buat masa ini walaupun harga ikan naik ketika ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata, sebaliknya, harga ikan tersebut akan terus ditentukan oleh pasaran, sementara kawalan harga akan menyebabkan penyalahgunaan stok ikan berkenaan.
"Dalam ekonomi, kurang peraturan lagi bagus. Biar pasaran yang menentukannya. Kalau terlalu kawal nanti ada penyalahgunaan," katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) mengenai harga ikan kembung di pasaran yang tiba-tiba melonjak dan langkah untuk mengatasi keadaan itu.
Ahmad Shabery berkata harga ikan kembung yang tinggi sekarang ini dijangka bersifat sementara kerana terdapat kekurangan pendaratan ikan berkenaan oleh nelayan.
"Ini kerana terdapat perubahan corak cuaca tahun ini. Kita jangka tengkujuh sepatutnya berakhir Januari atau Februari dan ikan kembung akan naik (mendarat) banyak. Tetapi ini sehingga Mac masih kurang naik.
"Kita jangka April ini pendaratan ikan kembung kembali banyak dan harga akan stabil semula," katanya.
Menjawab soalan tambahan Mastura mengenai rancangan kerajaan membangunkan ternakan ikan air tawar agar tidak bergantung kepada ikan marin, Ahmad Shabery berkata kerajaan sedang berusaha ke arah itu.
Katanya lebih banyak kawasan berpotensi untuk ternakan ikan air tawar akan dibangunkan di seluruh negara bagi mencapai sasaran bekalan 50 peratus ikan negara datang daripada ikan ternakan.
-- BERNAMA
#Ahmad Shabery Cheek
#harga siling
#ikan kembung
#ikan rakyat
#kawalan harga
#pasaran
#penyalahgunaan stok