Tiada halangan guna kalimah Allah untuk agama lain di Sarawak - Adenan

Astro Awani
Ogos 13, 2015 13:55 MYT
ADENAN: Saya memberi jaminan sebagai Ketua Menteri Negeri Sarawak yang beragama Islam, anda bebas mengamalkan agama ada seperti mana yang anda mahu. -Gambar fail
Penggunaan kalimah Allah bagi merujuk kepada Tuhan bagi masyarakat yang bukan beragama Islam di Sarawak tidak akan disekat.
Ketua Menteri Sarawak , Tan Sri Dr Adenan Satem juga memberi jaminan masyarakat bukan Islam di negeri berkenaan juga bebas mengamalkan agama masing-masing.
Katanya jaminan itu diberikan kepada seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira agama dan bangsa.
Beliau juga menyeru semua rakyat Sarawak sentiasa menghormati kepercayaan masyarakat lain di negeri berkenaan.
"Saya memberi jaminan sebagai Ketua Menteri Negeri Sarawak yang beragama Islam, anda bebas mengamalkan agama ada seperti mana yang anda mahu, saya tidak akan memberitahu bagaimana anda harus mengamalkan agama anda," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Hak Milik Hak Adat Tanah Bumiputera, hari ini.
Beliau juga menegaskan isu kalimah Allah tidak dipolimikkan di Sarawak.
"Ini Sarawak, bukan Semenanjung Malaysia. Kita jangan ikut amalan masyarakat di Semenanjung Malaysia."
Tegasnya masyarakat Sarawak menghormati kebebasan beragama dan saling menghormati agama lain.
#Adenan Satem #Allah #Islam #kalimah #kebebasan beragama #Sarawak