Tiada halangan aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Larkin - Khairy

Bernama
April 25, 2017 14:00 MYT
KHAIRY: Saya tidak ada apa-apa masalah sekiranya stadium itu digunakan untuk apa-apa perlawanan pasukan kebangsaan tapi untuk Sukan SEA ini, ia akan dimainkan di Kuala Lumpur. - Gambar fail
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya semua aksi skuad kebangsaan untuk kempen kelayakan Piala Asia 2019 berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kepada kemudahan yang terbaik yang sedia ada di stadium berkenaan.
"Saya tidak ada apa-apa masalah sekiranya stadium itu digunakan untuk apa-apa perlawanan pasukan kebangsaan tapi untuk Sukan SEA ini, ia akan dimainkan di Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian penajaan Sukan SEA ke-29 dengan McDonald's Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan semua aksi skuad negara dalam kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 akan berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.
Katanya FAM telah menghantar surat kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung perkara berkenaan.
Sebelum ini, gelanggang bagi perlawanan kelayakan berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor dan Stadium Nasional, Bukit Jalil. -- BERNAMA
#bola sepak #Hamidin Mohd Amin #kempen kelayakan #kemudahan terbaik #Khairy Jamaluddin #Persatuan Bola Sepak Malaysia #Piala Asia 2019 #Stadium Tan Sri Hassan Yunos #Sukan SEA