Tiada had pengunjung pada Aidiladha, namun keadaan boleh berubah - Ismail Sabri
Hilmi Malik
Julai 23, 2020 15:50 MYT
Julai 23, 2020 15:50 MYT
Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan untuk mengehadkan jumlah pengunjung sempena sambutan perayaan Aidiladha yang bakal disambut pada 31 Julai ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini tiada sebarang had pengunjung ditetapkan sempena perayaan tersebut namun ia bergantung kepada perkembangan kes COVID-19.
“Buat masa ini tiada had ditetapkan namun keadaan boleh berubah mengikut keadaan semasa dan setakat hari ini (Khamis) tiada had lagi.
“Sebelum ini kita tak sekat pengunjung datang ke rumah pada hari-hari biasa jadi untuk Raya Haji juga kita konsisten dan kita tidak menyekat,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan PKPP pada Khamis.
Bagaimanapun Ismail Sabri menjelaskan, sekiranya terdapat peningkatan kes yang mendadak dan mendapat nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan akan terpaksa mengubah SOP dan polisi berhubung situasi semasa PKPP.
Situasi baru-baru ini menyaksikan peningkatan semula kes positif COVID-19 yang dilihat telah kembali kepada dua angka termasuk beberapa kluster baharu yang telah dikenal pasti.