Tiada gerakan jatuhkan Chow sebagai Ketua Menteri P.Pinang - Anthony Loke
Bernama
November 19, 2023 14:37 MYT
November 19, 2023 14:37 MYT
GEORGE TOWN: Tiada sebarang gerakan untuk menjatuhkan atau menukar Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sehingga habis penggal Pilihan Raya Negeri, tegas Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook.
Loke berkata Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan seluruh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu memberikan sokongan kepada Chow untuk menerajui Pulau Pinang hingga habis penggal, malah tidak timbul isu hubungan dingin antara Lim dan Chow.
"Saya dengar pelbagai khabar angin ada masalah dalaman kerjaan negeri (Pulau Pinang) dan ada cakap-cakap kata ada gerakan jatuhkan Chow sebagai Ketua Menteri, saya tidak pernah jawab kepada media di Kuala Lumpur atau Putrajaya kerana saya nak datang Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang hari ini dan jawab.
"Saya nak tegaskan dengan lantang yang tiada sebarang gerakan untuk jatuhkan Chow itu semua khabar angin dan merepek.
"Kita semua termasuk CEC telah beri sokongan dan kepercayaan kepada beliau (Chow) untuk terajui Pulau Pinang.
"Semua itu (tuduhan dan khabar angin) tidak betul dan saya tidak mahu ia menjejaskan perjalanan pentadbiran di negeri ini," katanya semasa berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Turut hadir Chow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang dan Lim serta barisan kepimpinan negeri parti itu dan perwakilan DAP negeri.
Sementara itu, Loke yang juga Menteri Pengangkutan pada sidang akhbar selepas itu berkata beliau menaruh kepercayaan kepada Chow dan berharap semua ahli parti terus berdiri teguh di belakang DAP dan kerajaan negeri.
Beliau berkata persoalan yang timbul kata ada gerakan untuk menjatuhkan Chow sebagai Ketua Menteri adalah berdasarkan laporan media dan beliau pilih hari ini untuk menyatakan secara jelas pendirian kepimpinan pucuk pimpinan DAP telah membuat keputusan yang jelas memilih Chow menerajui Pulau Pinang.
"Sebelum PRN yang lalu DAP memberikan sokongan Chow sebagai calon Ketua Menteri dan untuk menerajui kempen pilihan raya, beliau telah pun memimpin DAP Pulau Pinang ke arah kejayaan dengan berjaya mempertahankan 19 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) DAP seterusnya bentuk kerajaan negeri bersama rakan-rakan lain.
"Kami semua beri sokongan dan kepercayaan kepada beliau (Chow), tak ada calon lain dan tak ada apa-apa pertikaian malah kepimpinan tertinggi juga telah sebulat suara memilihnya.
"Keputusan untuk memilih beliau bukanlah keputusan saya, bukan keputusan Lim Guan Eng, ia dibuat secara kolektif dan sebarang pertukaran juga perlu dibuat dalam perbincangan CEC parti," katanya.
Beliau berkata Chow juga menyatakan komitmen hanya menerajui Pulau Pinang sebagai ketua menteri selama dua penggal seperti termaktub dalam perlembagaan kerajaan negeri dengan penggal terakhir sekarang ini dan dalam masa sama menjalankan pelan peralihan DAP termasuk memilih calon ketua menteri baharu menggantikannya.
Loke berkata Chow bersama DAP Pulau Pinang akan bersama-sama kenal pasti pengganti ketua menteri dalam tempoh empat tahun ini namun setakat ini belum membuat sebarang keputusan siapa calon seterusnya.
"Belum ada apa-apa keputusan siapa penggantinya, sebab ada empat tahun lagi tapi proses itu sudah bermula dan perlu ada.
"Kita kena lihatlah siapa yang ada potensi, siapa yang ada kelayakan dan siapa yang ada prestasi yang baik.
"Penggantinya mungkin dipilih daripada ADUN atau ahli parti dan sekarang ini bukan masanya untuk jatuhkan sesiapa," katanya.
Beliau turut menafikan hubungan dingin antara Chow dan Lim malah memaklumkan hubungan mereka berdua dalam keadaan baik sahaja.
"Dingin? Saya nampak okey sahaja tadi, sama-sama minum kopi sambil duduk atas pentas tadi..tak ada yang dingin," katanya.
Sebelum ini, beberapa khabar angin bertiup kencang apabila ada yang mendakwa hubungan Lim dan Chow dingin susulan isu-isu berkaitan PRN.
-- BERNAMA