Tiada gerakan Al-Qaeda di Malaysia - PDRM

Bernama
Oktober 30, 2012 00:56 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengesan gerakan Al-Qaeda di negara ini berdasarkan pemantauan risikannya, kata Pengarah Jabatan Petugas Khas dan Anti Pengganas Bukit Aman Datuk Mohamad Fuzi Harun.
"Sehingga kini, PDRM tidak menerima sebarang maklumat tentang gerakan Al-Qaeda di sini, namun tidak menolak kemungkinan ada aktiviti merekrut rakyat tempatan untuk menganggotai kumpulan itu di negara jiran," katanya ketika dihubungi Bernama Isnin.
Beliau diminta mengulas penahanan rakyat Malaysia Rafik Mohammed Ariffin, 28, dan Mohammed Razin Shaaban, 21, oleh pihak berkuasa Lubnan di sebuah hotel di Beirut minggu lepas kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.
Tribunal Tentera di Beirut Isnin mengarahkan dua rakyat Malaysia itu mengambil peguam untuk mewakili mereka dan kes mereka akan disebut semula Rabu ini.
Sementara itu, ayah Rafik, Mohammed Ariffin Abdullah ketika dihubungi berkata beliau masih menunggu maklumat lanjut berhubung penahanan anaknya.
Sementara itu, ibu Mohammed Razin yang hanya mahu dikenali sebagai Sharifah Asma berkata beliau tidak tahu bagaimana anaknya boleh ditahan atas kesalahan menganggotai kumpulan Al-Qaeda.
Sharifah Asma berkata Mohammed Razin tinggal di Melaka dan menuntut di sebuah kolej di Trolak, Perak manakala beliau dan suaminya di Putrajaya.
#Al-Qaeda #beirut #keganasan #Mohamad Fuzi #PDRM